Warga emas rugi RM1.9 juta diperdaya ‘pegawai polis’

IPOH – Seorang lelaki warga emas kerugian sebanyak RM1.9 juta selepas diperdaya sindiket penipuan phone scam yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidian berkata, pihak polis menerima laporan daripada mangsa berusia 78 tahun itu pada Jumaat lalu.

Menurutnya, mangsa telah dihubungi individu yang menyamar sebagai pegawai polis sebelum diperdaya untuk mengikuti arahan diberikan sehingga menyebabkan sejumlah besar wang miliknya dipindahkan kepada pihak tidak dikenali.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai menggunakan modus operandi phone scam dengan suspek menyamar sebagai pihak berkuasa bagi menimbulkan rasa takut serta meyakinkan mangsa bahawa dia terbabit dalam suatu kesalahan atau siasatan.

“Susulan itu kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pihak polis tidak akan mengarahkan mana-mana individu untuk memindahkan wang ke akaun tertentu bagi tujuan siasatan.

“Selain itu, orang ramai diminta supaya tidak mudah panik atau mempercayai panggilan daripada individu yang mengaku sebagai pegawai polis, pegawai bank atau wakil mana-mana agensi penguatkuasaan.

“Sekiranya menerima panggilan mencurigakan, orang ramai diminta segera menamatkan panggilan, selain tidak mendedahkan maklumat perbankan, nombor TAC/OTP, kata laluan atau maklumat peribadi.

“Pengesahan hendaklah dibuat melalui saluran rasmi agensi berkaitan sebelum sebarang tindakan atau transaksi kewangan dilakukan,” jelasnya.

Mohd Alwi menyeru khususnya warga emas, pesara serta ahli keluarga mereka supaya sentiasa berwaspada terhadap taktik penipuan seumpama itu.

“Ahli keluarga disarankan sentiasa mengingatkan ibu bapa dan warga emas supaya tidak membuat sebarang transaksi kewangan berdasarkan arahan melalui telefon tanpa pengesahan terlebih dahulu,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pelajar universiti rugi hampir RM200,000 diperdaya ‘phone scam’

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI