ISKANDAR PUTERI – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersyukur dan bangga apabila lebih 600 anak orang asli berada di universiti dan kolej seluruh negara tahun ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, jumlah tersebut merupakan satu pencapaian yang baik kerana menerusi bidang pendidikan akan menaik taraf sosial masyarakat berkenaan.
Jelasnya, kerajaan amat memberi penekanan dalam bidang tersebut dan bagi tujuan itu sekolah sukan dan pusat latihan khusus untuk orang asli diwujudkan yang kedua-dua di Paya Bungor, Maran, Pahang.
Menurutnya, ini bagi mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang sukan, selain meningkatkan tahap pencapaian akademik sekali gus mencerminkan peningkatan penyertaan komuniti berkenaan dalam pendidikan selain melahir tenaga kerja mahir serta berkualiti.
“Pusat latihan ini untuk bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) manakala sekolah sukan untuk bidang sukan. Ini bagi memastikan mereka tidak terpinggir dan mahu memastikan anak-anak orang asli diberi keutamaan dalam bidang pendidikan.
“Semasa tahun pertama saya menjadi Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Jakoa (Jabatan Kemajuan Orang Asli) diletakkan bawah saya (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) dan saya sasar 200 anak-anak orang asal masuk institutusi pengajian tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Karnival Sukan Orang Asli Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Kompleks Sukan Educity di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua Penerangan Jakoa, Muhammad Akmal Ila Ahmad.
Zahid berkata, semasa tahun pertama menjadi menteri terbabit beliau mencabar 200 anak orang asli masuk institusi pengajian tinggi dilepasi dan cabaran tersebut diterima, malah seramai 300 anak orang asli masuk institusi pengajian tinggi dalam tahun berkenaan.
“Tahun kedua tingkat kepada 300, jelas pencapaian anak orang asal apabila 400 (masuk institusi pengajian tinggi) pada tahun kedua. Saya bersyukur dan bangga apabila pada 2026 lebih 600 berada di universiti dan kolej seluruh negara,” katanya.
Jelasnya, usaha memperkasa pendidikan masyarakat Orang Asli juga diperluas kepada TVET di Paya Bungor yang kini mempunyai 135 anak orang asli menceburi bidang itu. – MalaysiaGazette


