RM0.5 juta atasi isu bekalan air Kampung Nelayan Bagan Panchor

BERUAS – Dianggarkan sebanyak RM500,000 dibelanjakan bagi penyelesaian isu gangguan dan tekanan rendah bekalan air yang dihadapi kira-kira 1,500 penduduk di Kampung Nelayan Bagan Panchor, Pantai Remis, di sini.

Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP), Ir. Lokman Abd Rahim berkata, peruntukan itu turut membabitkan kepada kerja-kerja pemasangan paip polivinil klorida tanpa plastik (uPVC) sepanjang 2.4 kilometer (km) bagi meningkatkan kapasiti serta keupayaan sistem agihan bekalan air.

Katanya, ia merupakan antara langkah mitigasi yang telah diambil bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menerusi penubuhan Pasukan Tindakan Khas Mini pada Mac 2022.

“Hasil daripada tindakan yang telah dilaksanakan, terdapat perkembangan positif apabila tekanan bekalan air di kawasan hujung kampung meningkat dan keadaan bekalan kini lebih stabil berbanding sebelum ini.

“Setakat ini kesemua 236 akaun pengguna kini dapat menikmati bekalan air dengan baik, dan daripada jumlah itu 97 melibatkan akaun pengguna domestik,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Kampung Nelayan Bagan Panchor, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis, Wong May Ing.

Lokman berkata, kadar Air Tidak Berhasil (NRW) di kawasan berkenaan turut menurun daripada sekitar 68 peratus kepada 55 peratus setakat September tahun ini hasil usaha membanteras kehilangan air, memperkemas sistem agihan dan meningkatkan pemantauan penggunaan air.

Menurut beliau, bagi fasa seterusnya, LAP akan memberi tumpuan mengenal pasti baki paip lama yang masih belum diganti selain menyiasat kemungkinan berlaku lagi kes kecurian air sebelum kerja penggantian paip baharu dilaksanakan.

“Isu yang berlaku bukan semata-mata berpunca daripada tekanan air yang rendah, sebaliknya turut melibatkan beberapa faktor lain. 

“Ia termasuk kepada penggunaan air yang tinggi dan tidak terkawal, sambungan bekalan air secara tidak sah serta penggunaan pam secara terus dari meter yang berpotensi menjejaskan sistem agihan bekalan air,” katanya.

Beliau berkata, sasaran utama fasa seterusnya adalah mengurangkan kadar NRW, selain mengharapkan kerjasama penduduk untuk melaporkan sebarang penggunaan air yang luar biasa bagi membolehkan pemeriksaan dijalankan.

Kata beliau, kerja pemasangan paip baharu juga berdepan cabaran berikutan keadaan kawasan kampung nelayan yang agak padat dan menyukarkan kerja-kerja pembinaan.

Dalam pada itu, Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan sambungan bekalan air secara haram dan sebagainya sehingga menjejaskan pengguna lain.

Ujar beliau, tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan sekiranya berlaku kesalahan berkaitan kes kecurian air.

“Kalau mereka bersalahan dengan peraturan berkaitan kecurian air, kita buat laporan polis dan sekiranya tindakan diambil oleh pihak polis, proses pendakwaan itu adalah hak mereka,” jelasnya.

Beliau berkata, sejak tahun 2014, sebanyak enam kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 655), dengan dua kes dikenakan kompaun manakala empat lagi didakwa dan dijatuhi hukuman denda oleh mahkamah.

Tambah Mohammad Nizar, operasi penguatkuasaan pada September 2024 turut menyaksikan 23 unit pam air disita kerana penggunaannya didapati melanggar peruntukan dan peraturan ditetapkan.

Selain itu, penyusunan semula sistem meter dilaksanakan termasuk penggantian 60 tonggak meter serta penyusunan meter secara berkelompok dan bersangkar bagi meningkatkan kawalan, pemantauan serta keselamatan meter.

Difahamkan isu gangguan dan tekanan rendah bekalan air Kampung Nelayan Bagan Panchor telah berlarutan sejak kira-kira 15 tahun lalu. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

LAP komited pantau aset, pastikan bekalan air berkualiti di Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI