IPOH – Lembaga Air Perak (LAP) komited menjalankan pemantauan aset secara berkala bagi memastikan kelancaran operasi serta kualiti bekalan air kepada pengguna di seluruh negeri ini termasuk di Loji Rawatan Air (LRA) Manong.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, selain itu, LAP akan mengkaji mutu air sepertimana yang termaktub dalam garis panduan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
“LRA Manong adalah loji rawatan air kategori Rawatan Penuh yang ditingkatkan sejak tahun 2008.Buat masa ini, LRA Manong masih mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk memenuhi permintaan bekalan air setempat.
“Berkaitan bacaan kualiti air pula, secara keseluruhannya kualiti air di kawasan pekan Manong adalah mematuhi piawaian KKM dan SPAN.
“Bagaimanapun, dari pemantauan pihak LAP, didapati kualiti air mentah dari Sungai Guar semakin merosot dan LAP telah mengambil inisiatif menaiktaraf sistem pengedosan bahan kimia yang lebih efektif bagi menangani isu kekeruhan air mentah yang tinggi.
“Perkara ini dikhuatiri berpunca daripada aktiviti penerokaan di bahagian hulu sungai sehingga menjejaskan kualiti air mentah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Berhanudin Ahmad (PH-Manong) pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Mohammad Nizar turut memaklumkan bahawa secara umumnya bekalan air bagi Daerah Bagan Datuk tidak mempunyai sebarang masalah gangguan bekalan air seperti yang dinyatakan.
“Namun, terdapat juga beberapa gangguan yang berlaku akibat kes kecemasan serta insiden diluar jangka LAP namun ianya kepada bersifat sementara.
“Berkenaan tempoh pemulihan bekalan air yang lama akibat kerja-kerja pembaikan paip pecah, LAP sememangnya akan melaksanakan kerja pembaikan tersebut dengan kadar segera, namun proses pemulihan dan penstabilan sistem agihan bekalan air akan mengambil sedikit masa terutamanya kawasan yang berada dihujung rangkaian agihan,” jelasnya.
Katanya, LAP turut merancang membina Tangki Ternaik di Sungai Sumun untuk menambahkan kapasiti tangki yang berperanan untuk membekalkan air dengan stabil.
Tambahnya, LAP juga telah dan akan memberi saranan kepada orang ramai betapa pentingnya setiap premis perlu mempunyai tangki simpanan air sendiri yang berperanan untuk menyimpan air untuk kegunaan sekurang -kurangnya sehari sepertimana yang terkandung dalam Uniform Technical Guidelines SPAN. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


