IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menyumbangkan bantuan awal RM2,000 kepada keluarga tiga beradik yang terlibat dalam nahas di Jalan Perpaduan berhampiran Taman Perpaduan Ria, Tambun di sini pagi tadi.
Sumbangan itu disampaikan Pegawai Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun, Muhammad Izzuddin Hariz Bohari mewakili Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun kepada abang ipar mangsa, Norhanizam Muhammad Yusri, 28, di Taman Bagus di sini, petang ini.
Sementara itu, Pegawai Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun, Ashraf Kahasani berkata, Perdana Menteri telah menghubungi sendiri serta meminta wakil pusat khidmat untuk menyampaikan bantuan tersebut kepada keluarga terbabit.
“Fokus kita adalah untuk membantu meringankan beban keluarga, kita faham, memandangkan tiga beradik ini tinggal bersama abang ipar dan kakak mereka yang sedang sarat mengandung.
“Jadi hari ini kita hadir untuk memberikan sumbangan sebanyak RM2,000 sebagai bantuan pada peringkat awal,“ katanya ketika ditemui selepas menziarahi keluarga mangsa di Taman Bagus, Tambun di sini malam ini.

Dalam pada itu, Ashraf berkata, pihaknya juga akan memberikan bantuan susulan kepada seorang lagi mangsa berusia 12 tahun yang masih lagi mendapatkan rawatan di hospital.
“Tadi saya sempat berhubung dengan ketua kampung untuk melihat dari semasa ke semasa keperluan yang mendesak, berkaitan dengan bantuan perubatan, makanan dan sebagainya (keluarga mangsa). Kita juga akan bantu,“ ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan dua beradik perempuan maut manakala seorang lagi parah selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Perpaduan berhampiran Taman Perpaduan Ria, Tambun, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 7.20 pagi itu, mangsa, Elyana Nasuha Ibrahim, 19, dipercayai dalam perjalanan menghantar dua adiknya, Suhaila Ibrahim, 10, dan Norhayati Qaliesha Ibrahim, 12, ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Dermawan.
Bagaimanapun, Elyana yang juga seorang pekerja swasta dan Suhaila maut dalam kemalangan itu manakala Norhayati mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tragedi ke sekolah: Dua beradik maut, seorang parah motosikal bertembung kereta


