IPOH – Perak menyasarkan Gred Purata Negeri (GPN) bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 mencapai 4.35 berbanding 4.49 yang direkodkan tahun lalu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) turut meletakkan sasaran peningkatan peratus calon layak menerima sijil kepada 97.8 peratus berbanding 96 peratus.
Katanya, sasaran itu disokong pelaksanaan pelbagai program Tuisyen Cikgu Saarani, termasuk Program Transisi Ke Arah Perak Sejahtera (TRAS) serta program ‘One Third High’ yang dikendalikan JPN bersama Yayasan Perak.
“Fokus kita bukan sekadar mahu anak-anak ini lulus, tetapi mereka juga mendapat gred yang baik, cemerlang atau mempunyai potensi untuk cemerlang.
“Jadi, program ini memberi tumpuan kepada subjek terutamanya Matematik dan Bahasa Inggeris,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Bengkel Pecutan Akhir SPM dan Majlis Penutup Program TRAS Tahun 2026 di Hotel Casuarina@Meru, di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar serta, Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr. Nasreen Khanum Nawab Khan.
Seramai 690 pelajar Tingkatan Lima daripada 23 sekolah di seluruh Perak menyertai bengkel berkenaan sebagai kemuncak pelaksanaan TRAS yang berlangsung hampir sembilan bulan bagi membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar daripada keluarga B40.
Mengulas lanjut, Khairudin berkata, pelaksanaan TRAS diperluaskan kepada 23 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun ini berbanding kira-kira 12 sekolah sebelum ini, dengan tumpuan kepada sekolah luar bandar.
Menurut beliau, peluasan itu dibuat susulan pencapaian program berkenaan yang mendorong kerajaan negeri memperluaskan peluang bimbingan akademik kepada lebih ramai pelajar yang memerlukan.
“Program TRAS ini adalah untuk membantu anak-anak B40 yang mungkin tidak mempunyai ruang untuk mengikuti kelas tambahan kerana ibu bapa tidak mampu menghantar mereka.
“Kita gunakan tenaga pengajar yang ada di sekolah untuk membantu menjayakan program ini,” katanya lagi.
Jelas beliau, TRAS yang diperkenalkan sejak 2022 merupakan inisiatif pendidikan kerajaan negeri untuk membantu pelajar Tingkatan Lima daripada keluarga B40 yang berpotensi mencapai kecemerlangan akademik melalui bimbingan dan kelas tambahan secara berstruktur.
Tambah Khairuddin, kerajaan negeri berkemungkinan akan memperluaskan program itu ke lebih banyak kawasan DUN bergantung kepada peruntukan tambahan menerusi Belanjawan Perak 2027. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:


