PARIT BUNTAR – Pembangunan Kerian Industrial City (KIC) bernilai sekitar RM700 juta dijangka membuka hampir 12,000 peluang pekerjaan, sekali gus memperkukuh kedudukan Perak sebagai antara destinasi pelaburan perindustrian di Semenanjung.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembangunan di kawasan seluas 116.15 hektar itu dilaksanakan dalam empat fasa sepanjang tempoh 10 tahun, dengan fasa pertama dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
Menurutnya, KIC turut menyediakan peluang kepada pelabur, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), vendor serta industri sokongan untuk mengembangkan operasi di daerah Kerian.
“Kedudukan Kerian yang berhampiran dengan pusat perindustrian Batu Kawan di Pulau Pinang dan Kulim di Kedah memberikan kelebihan kepada KIC untuk memanfaatkan perkembangan rantaian bekalan dan aktiviti pembuatan di wilayah utara Semenanjung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah bagi Pembangunan KIC di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.
Saarani berkata, pembangunan KIC juga membolehkan Perak menyediakan kawasan industri alternatif kepada pelabur yang mahu mengembangkan operasi, khususnya mereka yang berdepan kekangan kawasan di Pulau Pinang.
Kata beliau, pelabur tidak perlu menunggu sehingga Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) siap untuk memulakan operasi kerana KIC menawarkan pilihan pembangunan industri yang boleh dimanfaatkan lebih awal.
“Kalau ada pelabur dari Pulau Pinang atau tempat lain, termasuk luar negara, yang mahu masuk, Perak sudah ada tempat baharu di KIC.
“Antara asas kita memulakan KIC ialah terdapat pelabur di Pulau Pinang yang mahu mengembangkan perusahaan tetapi berdepan kekangan ruang, selain kedudukan Kerian yang berhampiran dengan pelabuhan di negeri itu,” katanya.
Beliau menegaskan, KIC dan KIGIP bukan projek yang bersaing, sebaliknya ia saling melengkapi bagi membentuk ekosistem perindustrian lebih kukuh serta meningkatkan daya tarikan Kerian kepada pelabur.
Bagaimanapun, jelas beliau, penyediaan infrastruktur dan utiliti, khususnya bekalan elektrik yang stabil dan mencukupi, perlu diberikan perhatian bagi memastikan kedua-dua pembangunan itu dapat mencapai potensi sepenuhnya.
Justeru itu, Saarani memberitahu, penyelarasan antara pihak berkaitan termasuk PKNPk, Tenaga Nasional Berhad (TNB), SD Guthrie dan InvestPerak perlu diperkukuh bagi mempercepat cadangan pembinaan Pencawang Masuk Utama (PMU) baharu serta urusan laluan rentis yang melibatkan kawasan KIGIP, tertakluk kepada keperluan teknikal dan kelulusan berkaitan.
Sementara itu, Redza Rafiq berkata, KIC berperanan menyediakan ruang kepada industri sokongan yang dapat memanfaatkan kekuatan kepada sektor pembuatan sedia ada di Pulau Pinang dan selatan Kedah.
Jelas beliau, industri seperti pengujian, penentukuran serta sektor elektrik dan elektronik (E&E) berpotensi berkembang di KIC, sekali gus menyokong pembangunan KIGIP.
“Kita menyediakan satu kawasan yang lebih teratur untuk industri sokongan berkembang dan berfungsi bagi menyokong pembangunan KIGIP,” katanya.
KIC dibangunkan di atas tanah milik PKNPk dengan Bumi Johan Sdn Bhd, anak syarikat Asiabina Group, sebagai pemaju.
Pembangunan itu merangkumi 36 unit kilang berkembar, 47 lot tanah industri, kuarters pekerja berpusat (CLQ) berkapasiti 3,000 pekerja, 553 unit kediaman serta komponen komersial. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:


