KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) boleh bertanding dan menggerakkan kempen pilihan raya selepas Mahkamah Tinggi hari ini menggantung keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang membatalkan pendaftaran gabungan itu, dua hari lalu.
Hakim Datuk Azizan Md. Arshad turut membenarkan permohonan PN untuk menangguhkan notis RoS bertarikh 22 September yang menggantung semua aktiviti gabungan itu.
Ketika menyampaikan keputusannya, Hakim Azizan berkata, mahkamah mendapati wujud keadaan luar biasa yang mewajarkan penggantungan diberikan.
“Mahkamah mengambil kira peranan pemohon-pemohon dalam aktiviti politik yang menyentuh hak-hak sebagai ahli parti, wakil rakyat atau Ahli Parlimen dan kerajaan negeri.
“Terdapat keadaan tertentu yang tidak dapat dipulihkan seperti penyertaan dalam pilihan raya, jika penangguhan tidak diberikan.
“Tiada sebarang prejudis di pihak RoS sekiranya penggantungan ini dibenarkan kerana pengawasan berterusan terhadap aktiviti PN atau pemohon-pemohon masih boleh dilaksanakan mengikut undang-undang bertulis negara ini,” ujarnya.
Dalam penghakimannya, Hakim Azizan turut berkata, isu utama yang perlu diputuskan ialah sama ada permohonan PN untuk mendapatkan perintah penggantungan telah menjadi akademik berikutan tindakan membatalkan pendaftaran pertubuhan sebelum permohonan penangguhan dilupuskan.
Menurut beliau, meskipun sebelum penangguhan diputuskan oleh mahkamah hari ini, RoS telah membatalkan pendaftaran pertubuhan pemohon pada 20 Oktober lalu iaitu dua hari sebelum prosiding didengar.
Pihak RoS berhujah, pembatalan pendaftaran itu telah menyebabkan permohonan penangguhan kehilangan tujuan dan menjadi akademik dan tidak lagi wajar dibenarkan.
“Mahkamah bagaimanapun berpandangan, persoalan sama ada sesuatu permohonan menjadi akademik tidak boleh ditentukan semata-mata berdasarkan hakikat bahawa tindakan pentadbiran yang dipertikaikan telah berlaku.
“Mahkamah perlu meneliti keseluruhan relif yang dipohon dan menentukan sama ada masih terdapat isu sebenar untuk diputuskan serta sama ada relif yang berkesan masih boleh diberikan dalam prosiding tersebut.
“Hakikat bahawa pembatalan kemudiannya telah dibuat tidak dengan sendirinya membuktikan bahawa keseluruhan kontroversi yang dibangkitkan oleh pemohon telah terhapus,” ujarnya.
Oleh yang demikian, menurut Hakim Azizan, mahkamah tidak menerima hujah RoS bahawa permohonan penangguhan menjadi akademik secara automatik hanya kerana pembatalan telah berkuat kuasa.
Ujar beliau, mahkamah berpendapat bahawa pengeluaran dan pelaksanaan notis pembatalan tidak dengan sendirinya menghapuskan tujuan permohonan penangguhan.
Pada prosiding hari ini, PN diwakili peguam-peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun, Ivan Pal Singh dan Muhammad Rafique Rashid Ali manakala RoS diwakili Peguam Kanan Persekutuan Nurhaffiza Azizan.
Pada 13 Oktober lalu, Hakim Azizan membenarkan PN memulakan semakan kehakiman bagi mencabar notis RoS yang menggantung semua kegiatannya.
PN yang diwakili parti-parti politik berbeza memfailkan semakan kehakiman pada 5 Oktober.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wong Chia Zhen; Setiausaha Agung Malaysian Indian People’s Party (MIPP), Satish Kumar; Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Saifuddin Abdullah serta Setiausaha Agung Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Sazmi Miah dinamakan sebagai pemohon.
Dalam permohonan itu, Ketua Pengarah RoS yang juga Pendaftar Pertubuhan Malaysia, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dinamakan sebagai responden-responden.
Selasa lalu, RoS mengesahkan pembatalan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu selain tidak memberikan justifikasi yang kukuh untuk mengekalkan pendaftaran pertubuhan berkenaan.
Menurut RoS, keputusan itu dibuat di bawah sub perenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) selepas meneliti keseluruhan dokumen dan representasi dikemukakan PN pada 12 Oktober lalu.
Notis terdahulu bertarikh 22 September lalu dikeluarkan kepada PN di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 bagi memberi peluang kepada parti itu mengemukakan penjelasan dan representasi berhubung perkara yang dibangkitkan. – MalaysiaGazette


