Geng Yunaa kaut RM5.4 juta setahun eksploitasi seksual remaja, kanak-kanak

KUALA LUMPUR – Geng Yunaa yang dipercayai mengeksploitasi remaja dan kanak-kanak untuk kegiatan seksual mampu mengaut sehingga RM450,000 sebulan atau RM5.4 juta setahun sebelum kumpulan jenayah terancang itu dilumpuhkan polis menerusi Op Angel.

Kumpulan yang dipercayai aktif sejak awal 2024 itu dikaitkan dengan 17 kes jenayah membabitkan pelacuran dan pemerdagangan kanak-kanak untuk eksploitasi seksual di sekitar Lembah Klang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu berkata, operasi pada 24 hingga 26 September lalu hasil kerjasama JSJ Bukit Aman dan JSJ Kontinjen Selangor menyasarkan kumpulan yang mempunyai 10 ahli berusia antara 18 hingga 44 tahun.

Menurutnya, tujuh suspek berjaya ditahan manakala dua lagi ahli kumpulan sedang menjalani tahanan di Penjara Kajang dan Sekolah Henry Gurney, Melaka atas kesalahan berkaitan pemerdagangan kanak-kanak dan pelacuran.

“Seorang lagi ahli kumpulan masih bebas dan usaha mengesan suspek berkenaan sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Kesemua tujuh suspek yang ditahan kini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sehingga 23 Oktober.

Kumar berkata, kertas siasatan telah dirujuk kepada Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara yang bersetuju supaya sembilan ahli Geng Yunaa didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.

Kesemua sembilan individu dijadualkan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya esok.

Guna Telegram cari pelanggan

Mendedahkan modus operandi kumpulan itu, Kumar berkata, Geng Yunaa dipercayai merekrut remaja tempatan, warga asing dan kanak-kanak bawah umur untuk dieksploitasi bagi kegiatan seksual di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Kumpulan berkenaan turut menggunakan aplikasi Telegram menerusi saluran “KLSELANGORFL” untuk mempromosikan perkhidmatan dengan dianggarkan 20 hingga 30 individu ditawarkan setiap hari.

Pelanggan dikenakan bayaran antara RM200 hingga RM350 bergantung kepada pakej dan lokasi.

Bayaran dipercayai dibuat secara tunai, Touch ’n Go atau kod QR perbankan kepada ejen yang dikaitkan dengan kumpulan berkenaan.

Siasatan polis mendapati kumpulan itu dipercayai memperoleh kira-kira 100 pelanggan sehari dan menerima sekitar RM150 bagi setiap pelanggan sebagai kutipan kumpulan.

Berdasarkan jumlah itu, Geng Yunaa dipercayai mampu menjana pendapatan kira-kira RM450,000 sebulan atau RM5.4 juta setahun.

Dalam Op Angel, polis turut merampas 14 telefon bimbit, 33 kotak kondom pelbagai jenama, enam kotak ubat pencegah kehamilan, tuala dan gel pelincir yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan.

Semakan turut mendapati beberapa suspek mempunyai rekod kesalahan lampau termasuk berkaitan pelacuran, pemerdagangan orang, pengedaran dadah dan penipuan.

Kumar berkata, eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak boleh mengakibatkan trauma psikologi berpanjangan selain menjejaskan perkembangan emosi dan sosial serta masa depan mangsa.

Menurutnya, kejayaan Op Angel membolehkan polis menyelesaikan 17 kes jenayah serta melumpuhkan sebuah kumpulan jenayah terancang di Selangor.

Beliau menegaskan tindakan berterusan akan diambil terhadap individu atau kumpulan yang terbabit dalam jenayah terancang dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI