IPOH – Karnival Penjaja dan Usahawan bersama Komuniti anjuran Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Perkasa Negeri Perak (PPKMP) memberi peluang kepada penjaja dan peniaga kecil tempatan daripada golongan B40 menjana pendapatan.
Presidennya, Alfirzamunira Abdul Muin berkata, dianggarkan seramai 3,000 pengunjung berusia antara lima hingga 70 tahun memeriahkan karnival pertama yang dianjurkan persatuan tersebut.
“Alhamdulillah, program hari ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. sebanyak 30 gerai disediakan khusus untuk penjaja daripada golongan B40 yang menawarkan pelbagai barangan dan makanan pada harga berpatutan.
“Program yang bermula dengan aktiviti senamrobik ini turut mendapat sokongan daripada lapan agensi antaranya Maybank, Kementerian Kesihatan (KKM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Tarikan utama pada karnival ini ialah Yong Tau Foo yang tular di sekitar Ipoh, selain jualan mainan, laksa serta pelbagai jenis makanan dengan harga berpatutan termasuk Jualan Rahmah yang membolehkan pengunjung menggunakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Kita juga ada permainan serta aktiviti untuk anak kecil daripada umur bawah tujuh tahun dan bola jaring ‘three-on-three‘ untuk dewasa,” katanya ketika ditemui media pada Program Karnival Penjaja dan Usahawan bersama Komuniti di kompleks kelab Perak Sikh Union, di sini hari ini.
Beliau berkata, juga pengunjung berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan hadiah utama berupa peti sejuk berkapasiti 300 liter menerusi pembelian bernilai minimum RM10. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
PPKMP bincang dengan PBT seragam kadar lesen tahunan penjaja


