BERUAS – Seorang lelaki warga emas cedera selepas rumah usang yang didiaminya runtuh dalam kejadian di Kampung Raja Hitam, Ayer Tawar di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.21 petang.
Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar tiba di lokasi pada jam 2.35 petang, sebelum mendapati rumah setingkat kelas C yang berada dalam keadaan usang dan reput itu runtuh sepenuhnya.
“Setibanya di tempat kejadian, anggota mendapati seorang lelaki warga emas berusia 72 tahun berada di bawah timbunan kayu rumah yang runtuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ketua operasi melakukan penilaian awal kejadian sebelum anggota melaksanakan operasi menyelamat menggunakan konsep SAVER bagi mengeluarkan mangsa dari timbunan kayu berkenaan.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dan dibawa menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.57 petang,” ujarnya. – MG Perak


