KUALA TERENGGANU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu memberikan penjelasan berhubung hasrat menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi, kata Pengerusi PN Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata Pengerusi PN merupakan individu yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai penandatangan bagi penggunaan logo gabungan itu.
“Jadi macam mana Bersatu nak bertanding menggunakan logo PN? Kena tanya Bersatu balik bagaimana mereka nak gunakan logo itu,” katanya selepas Seminar Biodiversiti Terengganu di sini hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa PN akan tetap menggunakan logo gabungan itu pada mana-mana pilihan raya selepas ini.
Ditanya mengenai rundingan pembahagian kerusi, Ahmad Samsuri berkata prinsip asas yang dipersetujui bersama perlu diteruskan dalam menghadapi PRN Melaka serta Pilihan Raya Umum akan datang.
Beliau berkata perkembangan di Melaka merupakan sebahagian daripada pelaksanaan prinsip asas yang dibincangkan dalam rundingan antara parti komponen sebelum ini.
“Kita harap prinsip asas itu dapat diteruskan dalam rundingan-rundingan yang selanjutnya,” kata beliau.
Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata nama calon daripada parti komponen yang berhasrat bertanding telah dikemukakan, manakala pengumuman rasmi calon dijadualkan berlangsung di Melaka, malam esok.
Mengenai persiapan jentera pilihan raya, beliau berkata pertemuan dan perbincangan antara wakil PN dengan parti komponen telah diadakan bagi menyelaraskan gerak kerja bersama.
Beliau berkata model kerjasama yang dilaksanakan di Melaka dijangka ditambah baik berdasarkan pengalaman di Negeri Sembilan.
— BERNAMA


