PUTRAJAYA – Tahap kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad difahamkan konsisten menyebabkan beliau tidak dapat menghadiri Majlis Tahlil Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohd Ali di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini tengah hari tadi.
Anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, keadaan kesihatan bapanya ada kalanya baik sehingga mampu menjalankan aktiviti seperti biasa termasuk hadir ke pejabat dan bertemu orang ramai.
“Dia sebenarnya sangat berhasrat untuk bersama rakan-rakan artis dalam majlis berkenaan namun terpaksa membatalkan kehadiran selepas dinasihatkan doktor supaya pulang berehat.
“Nasihat itu diberikan selepas Dr Mahathir menziarahi pusara Allahyarhamah Tun Hasmah, pagi tadi.
“Kadang-kala dia sihat 100 peratus, sampai dia boleh datang ke pejabat selepas dia ziarah pusara dan boleh berjumpa dengan orang, bercakap elok semua. Tetapi kadang-kala dia rasa penat sedikit.
“Malangnya hari ini dia tak dapat bersama kerana selepas ke pusara tadi, doktor nasihatkan dia untuk balik berehat,” katanya kepada MalaysiaGazette yang ditemui selepas Majlis Tahlil Allahyarhamah Tun Dr Hasmah di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.

Mukhriz juga berkata, bapanya sendiri mengakui masih tidak mampu melupakan isteri kesayangannya sekali gus menggambarkan betapa mendalamnya kehilangan yang dirasai selepas lebih 70 tahun membina kehidupan bersama.
Beliau berkata, kesedihan akibat kehilangan insan tersayang adalah sesuatu yang perlu diuruskan secara berbeza oleh setiap individu.
“Ada orang yang cepat pulih, ada orang yang tidak akan pulih sampai begitu dulu. Jadi kita nak kena teruskan dengan kehidupan kita, Insya-Allah,” katanya.
Menurut Mukhriz, beliau turut mengingatkan bapanya melupakan allahyarhamah bukan sesuatu yang perlu dilakukan bagi meneruskan kehidupan.
“Sebaliknya, apa yang lebih penting ialah belajar menguruskan kesedihan sambil menerima hakikat kehilangan itu. Sebagai anak, saya sendiri kadang-kala berasa bimbang apabila memikirkan keadaan bapanya sekiranya kesedihan itu berlarutan,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan, setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk menghadapi kehilangan dan menyesuaikan diri dengan kehidupan selepas pemergian insan tersayang.
“Majlis tahlil hari ini menandakan genap sebulan pemergian bonda kami Allahyarhamah Tun Hasmah menjadikan kehilangan tersebut masih dekat dalam ingatan keluarga,” katanya.
Bagi Mukhriz, kenangan terhadap allahyarhamah perlu terus dipelihara manakala segala pengajaran daripada kehidupan insan yang telah pergi wajar dijadikan iktibar untuk meneruskan kehidupan.
“Yang penting, apa juga pengajaran kita dapat daripada bonda kita yang telah meninggalkan kita ini, kita kena gunakan sebagai iktibar sebagai hikmah untuk menjalankan hidup kita,” katanya.
Muhriz terharu dengan semua pihaknya khususnya rakan-rakan beliau yang terus menganjurkan majlis tahlil untuk menyampaikan penghormatan terakhir kepada allahyarhamah.
“Majlis tahlil itu bukan sahaja berlangsung di Lembah Klang malah turut diadakan di beberapa negeri termasuk Kedah dan Johor.
“Terdapat majlis tahlil yang dianjurkan oleh keluarga sendiri manakala sebahagian lagi diadakan oleh pihak lain yang kemudian menjemput ahli keluarga untuk hadir.
“Penganjuran majlis tahlil agak kerap ada kalanya dua hingga tiga majlis berlangsung dalam tempoh seminggu,” katanya lagi.
Mukhriz turut menyampaikan penghargaan bagi pihak keluarganya kepada semua pihak yang menganjurkan majlis tahlil untuk allahyarhamah.
“Keluarga kami amat menghargai kesudian mereka yang terus mengenang dan mendoakan allahyarhamah selepas pemergiannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


