IPOH – Perak melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk tiga program utama bagi membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 negeri membuat persediaan menghadapi peperiksaan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, program berkenaan ialah Jelajah Nyalaan Bara Api (JNBA), Program Transisi Ke Arah Perak Sejahtera (T.R.A.S) dan YP Smart Target.
Katanya, pelaksanaan ketiga-tiga program itu merupakan kerjasama antara Yayasan Perak dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN) bagi meningkatkan penguasaan mata pelajaran serta keyakinan pelajar.

“Ketiga-tiga program ini mempunyai pendekatan tersendiri, tetapi berkongsi matlamat yang sama, iaitu membantu calon SPM membuat persediaan yang lebih baik untuk menghadapi peperiksaan.
“Melalui JNBA dan T.R.A.S, pelajar diberikan bimbingan dan sokongan tambahan bagi meningkatkan penguasaan mata pelajaran serta membina keyakinan diri.
“Usaha ini turut dilengkapi dengan YP Smart Target yang memberikan tumpuan kepada bimbingan berfokus melalui pengalaman dan kepakaran guru-guru mentor bagi membantu calon cemerlang mencapai potensi terbaik mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Penggerak Kecemerlangan SPM Negeri Perak 2026 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr. Nasreen Khanum Nawab Khan.

Majlis menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada penggerak JNBA dan T.R.A.S serta watikah pelantikan kepada guru-guru mentor YP Smart Target sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam membimbing calon SPM.
Khairudin berkata, Perak berjaya meningkatkan kedudukan pencapaian SPM 2025 daripada tangga ke-13 kepada kelapan di peringkat kebangsaan, manakala Gred Purata Negeri (GPN) bertambah baik daripada 4.63 kepada 4.49.
Kata beliau, pencapaian itu menjadi asas kepada sasaran negeri untuk berada dalam kelompok satu pertiga teratas negeri-negeri bagi keputusan SPM 2026, dengan GPN 4.35 dan kadar kelayakan memperoleh sijil SPM sebanyak 98 peratus.

“Sasaran ini sememangnya mencabar, tetapi saya percaya kesungguhan seluruh warga pendidikan memberikan kita asas yang baik untuk terus berusaha mencapainya,” katanya lagi.
Sementara itu, Nasreen Khanum berkata, JNBA 3.0 dilaksanakan di 12 daerah dengan sasaran penyertaan kira-kira 7,000 calon SPM, menerusi bimbingan akademik dan suntikan motivasi.
Beliau berkata, T.R.A.S 2026 pula melibatkan 690 pelajar Tingkatan Lima daripada 23 sekolah di seluruh Perak, dengan tumpuan kepada pengukuhan mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris.

Menurut beliau, YP Smart Target turut diteruskan bagi SPM tahun ini dengan penglibatan 70 calon yang disasarkan memperoleh keputusan semua A+ dalam peperiksaan berkenaan.
“Bagi SPM 2025, daripada 70 orang peserta, seramai 65 orang berjaya memperoleh keputusan semua A, termasuk sembilan orang yang mencapai keputusan semua A+.
“Malah, sembilan orang ini mewakili hampir 35 peratus daripada keseluruhan 26 calon yang memperoleh semua A+ di Negeri Perak,” jelasnya.
Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan kepentingan bimbingan berfokus oleh guru mentor serta kesungguhan pelajar dalam mencapai kecemerlangan akademik, di samping kerjasama antara Yayasan Perak dengan warga pendidikan. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:


