KUALA LUMPUR – Sebuah stesen minyak di Nibong Tebal, Pulau Pinang berdepan tindakan penggantungan atau pembatalan lesen Kawalan Bekalan (CSA) sekiranya siasatan mendapati berlaku penyalahgunaan subsidi petrol BUDI MADANI.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tindakan itu boleh diambil mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 sekiranya berlaku pelanggaran syarat lesen, termasuk manipulasi rekod transaksi dan penyalahgunaan subsidi kerajaan.
“Di pihak KPDN, sekiranya didapati bersalah nanti, antara tindakan yang boleh kita laksanakan adalah menggantung atau membatalkan lesen CSA pemilik stesen itu di bawah Akta Kawalan Bekalan.
“Untuk membuka stesen minyak, selain lesen di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA), juga perlu mempunyai lesen CSA, lesen barang kawalan berjadual,” katanya hari ini.
Menurut Armizan, siasatan kes berkenaan sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan penglibatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyelewengan subsidi BUDI MADANI kerana program itu melibatkan komitmen kewangan besar kerajaan untuk membantu rakyat.
Selasa lalu, Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan sebuah stesen minyak di Sungai Buaya, Nibong Tebal disekat daripada menjual petrol RON95 dan diesel bersubsidi di bawah BUDI MADANI selepas transaksi mencurigakan dikesan.
Semakan rekod transaksi mendapati lebih 1,000 transaksi menggunakan kaedah pintasan manual, membabitkan lebih 100,000 liter petrol dengan nilai subsidi kerajaan melebihi RM270,000. – MalaysiaGazette


