KLANG – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengukuhkan reputasinya dalam bidang pendidikan apabila pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Prof Madya Dr. Saipolbarin Ramli, meraih Anugerah Pengajaran (Kelompok Sastera dan Sains Sosial) pada Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) Ke-17, semalam.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, kejayaan itu mencerminkan kecemerlangan inovasi pengajaran yang dibangunkan warga akademik universiti berkenaan, khususnya dalam memperkasa pedagogi bahasa Arab menerusi pendekatan pembelajaran yang sistematik dan berpusatkan pelajar.
Beliau berkata, pembangunan SMART-5 Station Learning Model (SMART-5 SLM) oleh Saipolbarin merupakan antara usaha inovatif yang mengintegrasikan pelbagai kaedah pengajaran dalam satu kerangka pembelajaran berorientasikan penguasaan.
“SMART-5 SLM membimbing pelajar secara berperingkat, bermula daripada penguasaan asas sehingga kepada pelaksanaan amalan pengajaran dan perkongsian hasil pembelajaran.
“Pendekatan ini turut menekankan bimbingan berterusan, maklum balas dan peluang untuk pelajar memperbaiki kelemahan sebelum bergerak ke tahap pembelajaran seterusnya, sekali gus membantu melahirkan bakal guru yang lebih kompeten dan yakin dalam melaksanakan tanggungjawab pendidikan,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.
SMART-5 SLM dibangunkan bagi kursus Kurikulum dan Pedagogi Bahasa Arab dengan matlamat meningkatkan keupayaan bakal guru dalam merancang, melaksanakan dan menilai pengajaran, selain membuat refleksi bagi tujuan penambahbaikan berterusan.
Model itu merangkumi lima stesen pembelajaran, iaitu Foundation, Guided Mastery, Competency Development, Professional Practice dan Showcase, yang membimbing pelajar daripada pembinaan asas pengetahuan kepada pengembangan kompetensi, amalan pengajaran dan perkongsian hasil pembelajaran.
Pendekatan berkenaan turut berteraskan falsafah HIDUP yang menekankan penghayatan ilmu, perkongsian pengetahuan, dialog bermakna, usaha berterusan dan perjalanan pembelajaran bersama, selaras dengan semangat “Yallah Namsyi Ma’an” yang bermaksud “mari kita melangkah bersama”.
Inovasi itu dibangunkan berdasarkan keperluan menangani cabaran pelajar yang telah lama mempelajari bahasa Arab tetapi masih kurang yakin menggunakannya.
Sehubungan itu, pelbagai bahan dan aktiviti pembelajaran berkaitan kosa kata, tatabahasa, sebutan dan kemahiran berbahasa disepadukan dengan sokongan teknologi digital.
Menurut Md Amin, sepanjang 2014 hingga 2025, inovasi pengajaran Saipolbarin memperoleh 25 pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan kebangsaan, merangkumi 20 pengiktirafan antarabangsa serta lima kebangsaan, dengan keseluruhan 16 pingat emas, tujuh perak dan dua gangsa.
“Beliau sebelum ini turut menerima beberapa pengiktirafan di peringkat universiti, termasuk Anugerah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Kategori Sastera dan Sains Sosial, Anugerah Inovasi Pengajaran Transformatif, Anugerah Pembelajaran Imersif Bersemuka dan Anugerah Penasihatan Akademik menerusi Anugerah Akademia Bitara (AKIRA) pada tahun 2023 hingga 2026, selain menerima Anugerah Inovasi PdP bagi Kategori Inovasi Output Bahan Bantu Mengajar dalam Anugerah BITARA UPSI pada 2018,” katanya.
Kejayaan pada AAN Ke-17 itu melayakkan Saipolbarin menerima hadiah wang tunai RM50,000 berserta sebuah trofi dan sijil penghargaan rasmi yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Diperkenalkan pada 2006, AAN merupakan antara pengiktirafan tertinggi negara dalam bidang akademik yang merangkumi pelbagai kategori, termasuk Anugerah Tokoh Akademik Negara, Anugerah Pengajaran, Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal, Anugerah Penerbitan Buku, Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk serta Anugerah Seni dan Kreativiti.- MalaysiaGazette


