LUMUT – Polis kini giat memburu dua individu yang disyaki melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta BMW di Taman Hijau, Kampung Koh, Sitiawan, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dari seorang lelaki pada jam 1.54 petang Jumaat.
Menurutnya,berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 4.16 pagi pada hari sama ketika pengadu berada di dalam rumah sebelum terdengar bunyi letupan.
“Pengadu kemudian mendapati terdapat empat kesan tembakan pada bahagian pintu sebelah kanan kenderaan miliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati dua suspek yang masih belum dikenal pasti identitinya menghampiri kenderaan berkenaan dengan menaiki sebuah motosikal.
“Salah seorang daripada suspek kemudian dipercayai melepaskan tembakan ke arah kereta itu sebelum kedua-duanya melarikan diri.
“Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960, manakala usaha mengesan suspek yang terlibat sedang giat dijalankan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Hasbullah meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menerusi talian 05-688 6222 atau WhatsApp Hotline 017-682 8005. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Polis rakam keterangan 10 saksi bantu siasatan kes tembakan di stesen minyak


