RM7 juta kurangkan risiko banjir di Behrang, projek RTB siap awal Januari

TANJUNG MALIM – Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bernam bernilai RM7 juta yang dilaksanakan di Pekan Behrang Stesen dijangka memberi kelegaan kepada penduduk yang sekian lama berdepan ancaman banjir.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin berkata, kawasan berkenaan pernah dilanda banjir sehingga menjejaskan hampir 1,000 penduduk di kawasan taman perumahan berhampiran.

Menurut beliau, projek membina dan menaik taraf struktur tebatan banjir itu dilaksanakan bagi mengurangkan kesan banjir, khususnya ketika musim tengkujuh.

“Dengan adanya kerja-kerja tebatan banjir ini, kita tidak boleh memberi jaminan bahawa banjir tidak akan berlaku lagi kerana kita tidak tahu kesan daripada hujan yang luar biasa.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin ketika sidang media selepas melakukan Lawatan ke Tapak Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bernam dan Siaran Media Persediaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di Tanjung Malim, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 02 NOVEMBER 2026.

“Namun, kalau sekiranya musim tengkujuh itu dapat kita kurangkan kesannya dan memberikan kelegaan kepada penduduk, itu sudah memberikan satu impak yang positif,” katanya pada sidang media selepas meninjau projek berkenaan di Tapak Projek RTB Sungai Bernam, di sini, pada Isnin.

Mohamad Nizar berkata, berdasarkan maklumat diterima, kerja-kerja yang sedang dilaksanakan itu telah menunjukkan kesan positif apabila kawasan berkenaan tidak mengalami masalah banjir serius dalam tempoh empat hingga lima bulan kebelakangan ini.

Beliau berkata, projek itu dijangka dapat disiapkan lebih awal sekitar Januari tahun depan bagi memastikan struktur tebatan dapat berfungsi dengan lebih baik sekiranya musim tengkujuh berterusan.

“Saya datang hari ini untuk melihat apakah perkara-perkara yang boleh kita percepatkan supaya janji kita untuk menyiapkan projek ini dapat diselesaikan.

“Kalau dapat kita selesaikan pada bulan Januari tahun depan, sekurang-kurangnya jika musim tengkujuh berterusan, kita dapat kurangkan sedikit kesannya,” katanya.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin mendengar penerangan ketika Lawatan ke Tapak Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bernam dan Siaran Media Persediaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di Tanjung Malim, pada Isnin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 02 NOVEMBER 2026.

Tambah beliau, komponen Utama projek berkenaan adalah pembinaan kolam takungan seluas kira-kira 2.5 hektar bagi menadah aliran air ketika hujan lebat.

Katanya, walaupun peruntukan RM7 juta itu dianggap kecil berbanding projek tebatan banjir berskala besar di tempat lain, ia mampu memberi kesan yang luas kepada penduduk di kawasan terlibat.

“Usaha tebatan banjir perlu dilaksanakan secara berterusan dan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan rakyat mendapat perlindungan yang lebih baik daripada risiko bencana tersebut.

“Kerja-kerja tebatan banjir ini tidak putus-putus. Selepas habis satu kawasan, kita pergi ke kawasan lain dan selepas itu kita perlu menaik taraf pula struktur tebatan yang ada,” katanya.

Untuk rekod Projek RTB Sungai Bernam bagi membina dan menaiktaraf struktur tebatan banjir di Pekan Behrang Stesen, Daerah Muallim telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 97 peratus sehingga 20 Oktober 2026, iaitu mendahului jadual asal sebanyak lapan peratus bersamaan 34 hari berbanding kemajuan yang dijadualkan sebanyak 89 peratus.

Skop utama projek merangkumi tujuh komponen pembinaan iaitu kolam takungan banjir seluas 2.5 hektar, pembinaan ban tanah sepanjang 775 meter, pemuliharaan Sungai Bandan sepanjang 250 meter, pembinaan parit tanah sepanjang 550 meter, pembinaan U-Drain sepanjang 400 meter, pembinaan sebuah Flap Gate baharu serta menaiktaraf tiga Flap Gate sedia ada dan pembinaan pagar keselamatan sepanjang 700 meter. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI