Tiket ETS Deepavali cecah 108 peratus

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) merekodkan jualan sebanyak 100,304 tiket bagi perkhidmatan ETS dan EMUPlus sempena sambutan Deepavali, bersamaan 108 peratus daripada keseluruhan 96,752 tempat duduk yang ditawarkan bagi tempoh perjalanan 5 hingga 10 November 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata, prestasi jualan itu mencerminkan permintaan perjalanan yang menggalakkan, dengan peningkatan sebanyak 70 peratus berbanding tempoh perayaan yang setara pada 2025

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pengagihan 600 pek cenderahati Deepavali kepada penumpang ETS bersama Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj, di KL Sentral hari ini.

Majlis tersebut turut diserikan dengan tayangan perdana video khas Deepavali terbitan KTMB bertajuk “Cahaya 2 Jiwa” yang membawa mesej perpaduan, keharmonian dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Menurut Datuk Azlan, video khas itu mengimbau sejarah industri perkeretaapian negara, khususnya sumbangan warga kerja KTMB berbangsa India yang telah mencurahkan bakti sejak generasi terdahulu dan legasi tersebut terus diwarisi sehingga ke hari ini.

“Buat julung kalinya KTMB menerbitkan video khas Deepavali “Cahaya 2 Jiwa” yang mengangkat kisah kasih sayang, pengorbanan dan perpaduan, selain memberi tumpuan kepada golongan generasi muda khususnya Gen Z yang merupakan antara kumpulan utama pengguna perkhidmatan KTM Komuter.

“Pendekatan penceritaan yang dekat dengan jiwa generasi muda diharap dapat memastikan mesej kekeluargaan dan perpaduan terus dihayati serta dihargai merentasi pelbagai lapisan Masyarakat,” katanya dalam satu ucapan hari ini.

Sehingga kini, video Deepavali Bahagian 1 telah mencatatkan lebih 2.3 juta tontonan secara keseluruhan di semua platform media sosial rasmi KTMB.

Menurut Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj, penglibatan masyarakat India dalam rangkaian kereta api negara telah bermula sejak zaman penjajahan British dan memainkan peranan penting dalam pembinaan serta penyelenggaraan sistem pengangkutan rel negara.

“Sumbangan masyarakat India merangkumi pelbagai bidang termasuk pekerja landasan, juruteknik, petugas stesen dan pemandu lokomotif, malah terdapat keluarga yang mewarisi kerjaya tersebut dari satu generasi ke generasi berikutnya,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga kerja dan pesara kereta api khususnya masyarakat India atas jasa dan sumbangan mereka dalam pembangunan industri perkeretaapian negara tanpa mengetepikan sumbangan kaum-kaum lain.

Menurut beliau, sektor swasta dan masyarakat turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan negara, sambil menyifatkan KTMB sebagai antara rakan strategik Kementerian Perpaduan Negara yang sentiasa menyokong agenda perpaduan melalui pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Menurutnya, semangat muhibah yang dipamerkan rakyat Malaysia ketika musim perayaan membuktikan keunikan budaya masyarakat negara ini yang perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Selain itu, KTMB turut membuka jualan tiket ETS dan ERT bagi Januari hingga Februari 2027 mulai jam 12 tengah hari ini sebagai sebahagian daripada penawaran keseluruhan 1.57 juta tempat duduk bagi suku pertama 2027 dan sebanyak 102,819 tiket telah terjual, bersamaan 106 peratus daripada keseluruhan 96,752 tempat duduk tambahan yang ditawarkan.

KTMB sebelum ini mengumumkan penambahan 14,384 tempat duduk menerusi perkhidmatan ETS dan EMUPlus bagi memenuhi permintaan perjalanan sempena perayaan Deepavali.

Sehubungan itu, KTMB menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal, membuat pembelian tiket melalui saluran rasmi serta tiba di stesen sekurang-kurangnya 30 minit sebelum waktu berlepas bagi memastikan perjalanan yang lebih lancar dan selesa sepanjang musim perayaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI