Suami isteri maut, anak parah nahas MPV, bas persiaran di JRTB

GERIK – Sepasang suami isteri maut, manakala anak lelaki mereka parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas persiaran di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), selepas kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Banjaran Titiwangsa, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.40 petang.

Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik dengan bantuan BBP Jeli digerakkan ke lokasi kemalangan sejauh 80 kilometer sebelum tiba sekitar jam 2.50 petang.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati tiga mangsa yang berada di dalam MPV Perodua Alza tersepit dan memerlukan bantuan untuk dikeluarkan.

“Mangsa terdiri daripada dua lelaki masing-masing berusia 64 dan 28 tahun serta seorang wanita berusia 58 tahun,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lelaki berusia 64 tahun yang merupakan pemandu MPV dan wanita berusia 58 tahun yang berada di tempat duduk penumpang hadapan didapati tidak sedarkan diri.

“Seorang lagi mangsa lelaki berusia 28 tahun yang berada di tempat duduk penumpang belakang pula mengalami kecederaan parah.

“Bagaimanapun, pemandu bas persiaran bersama dua pembantu serta 30 penumpang bas berkenaan dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,“ ujarnya.

Sabarodzi berkata, ketua operasi menjalankan penilaian situasi sebelum mengaplikasikan konsep SAVER bagi memastikan operasi menyelamat dilaksanakan dengan selamat dan teratur.

“Anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat khas untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit di dalam kenderaan terbabit.

“Pemandu dan penumpang hadapan kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum mayat mereka diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Beliau berkata, mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Gerik menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk mendapatkan rawatan dan operasi tamat sepenuhnya jam 3.30 petang. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Dua lelaki maut dihanyutkan arus deras ketika mandi sungai

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI