SUNGAI SIPUT – Sebanyak 1,000 kotak makanan diedarkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Sungai Siput sempena Sambutan Hari Deepavali 2026 melibatkan pelbagai kaum di parlimen berkenaan.
Ketua Cabang PKR Sungai Siput, K. Novinthen berkata, bantuan disalurkan itu merupakan inisiatif parti berkenaan dalam memastikan semua lapisan masyarakat di Sungai Siput diraikan setiap perayaan tanpa mengira kaum.
“Lebih 1,000 kotak makanan telah diedarkan kepada masyarakat daripada semua lapisan di Parlimen Sungai Siput termasuk kaum Melayu, kaum Cina, kaum India dan Orang Asli.
“Kita kena menghormati semua agama dan bangsa, khususnya masyarakat B40 di Parlimen Sungai Siput. Tidak kira kaum, agama dan bangsa, mereka mendapat kotak makanan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Mesra Madani Sempena Sambutan Hari Deepavali 2026 di Ballroom Saujana, MH Hotel Sungai Siput, di sini.

Katanya, masyarakat daripada pelbagai latar belakang tidak hanya menerima bantuan ketika perayaan kaum masing-masing, sebaliknya turut diraikan dalam setiap sambutan perayaan.
“Ini adalah pendirian saya sebagai ketua cabang. Kalau sempena Deepavali saya beri kepada kaum India sahaja atau masa Hari Raya kepada kaum Melayu sahaja, setahun sekali sahaja mereka akan dapat.
“Tetapi melalui semua perayaan ini, semua orang akan mendapat manfaat sepanjang tahun. Sempena Krismas, Hari Raya dan sambutan lain, semua masyarakat akan menerima bantuan,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan tersebut dilaksanakan sejak beliau menjadi Ketua Cabang PKR Sungai Siput tahun lalu sebagai usaha memastikan bantuan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.
Dalam pada itu, beliau berkata, sambutan perayaan pelbagai kaum juga perlu terus dijadikan medan untuk mengeratkan hubungan dan silaturahim dalam kalangan masyarakat Malaysia. -MG Perak


