BAGAN DATUK — Lebih RM300,000 diperuntukkan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada masyarakat India di parlimen ini sempena perayaan Deepavali tahun ini khususnya kepada golongan B40 dan sektor Pendidikan.
Ia melibatkan sumbangan barangan keperluan asas kepada 2,000 keluarga masyarakat India dalam kategori B40, sumbangan wang tunai RM100 seorang kepada 682 murid sekolah Tamil dan 16 buah televisyen papan pintar kepada Sekolah Jenis Kebangsaaan Tamil (SJKT) di parlimen berkenan.
Kesemua sumbangan berkenaan disampaikan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam Majlis Santunan Kasih Deepavali 2026 di Kompleks UMNO Bagan Datuk, Sungai Sumun, di sini baru-baru ini.
Pegawai Khas Hal Ehwal Masyarakat India kepada Timbalan Perdana Menteri, Arvind Appalasamy berkata, program tahunan yang digerakkan sejak tahun 2023 itu mencerminkan komitmen berterusan Ahmad Zahid dalam memastikan kebajikan masyarakat India di Parlimen Bagan Datuk terus terbela.

Menurut beliau, menerusi program berkenaan, sebanyak 2,000 bakul makanan diagihkan kepada keluarga B40 India bagi meringankan beban perbelanjaan dapur menjelang musim perayaan.
“Selain bakul makanan, fokus utama Datuk Seri Ahmad Zahid adalah aspek Pendidikan dan oleh itu kita menyalurkan bantuan tunai RM100 setiap seorang kepada keseluruhan 682 murid sekolah Tamil di Bagan Datuk dengan jumlah peruntukan sebanyak RM68,200.
“Sebanyak 12 tadika komuniti India turut menerima sumbangan sebanyak RM3,000 setiap satu bagi menyokong pengoperasian awal kanak-kanak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut.
Dalam pada itu, bagi memperkasa pembelajaran digital dan kecerdasan buatan (AI) di peringkat sekolah rendah, kesemua 16 buah SJKT di Parlimen berkenaan turut dibekalkan dengan set televisyen papan pintar (smartboard TV) bernilai kira-kira RM150,000.

Arvind menjelaskan, sumbangan peralatan teknologi berkenaan diagihkan secara menyeluruh tanpa membezakan saiz sekolah mahupun status sekolah kurang murid (SKM).
“Inisiatif bantuan pendidikan ini bukan bermusim, sebaliknya disalurkan dua kali setahun iaitu pada sesi pembukaan persekolahan sekitar Mac dan menjelang Deepavali pada penghujung tahun,” jelasnya.
Mengulas mengenai keperluan akar umbi, Arvind yang juga anak jati Bagan Datuk memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa turun padang menyantuni penduduk dari rumah ke rumah dan estet demi menyelesaikan pelbagai isu harian termasuk permohonan bantuan kemasukan universiti, kos perubatan warga emas serta penyelenggaraan infrastruktur asas seperti longkang dan jalan. -MG Perak


