KUALA KANGSAR –Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak kepada 24 penerima bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-70 di Istana Iskandariah di sini pada Ahad.
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin mendahului senarai dengan menerima Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) membawa gelaran Datuk Seri.
Anis Rizana, 57, juga pernah menempa sejarah apabila menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada 25 September 2023.
Beliau mempunyai pengalaman hampir tiga dekad dalam perkhidmatan awam sejak 1994, termasuk pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) di Kementerian Kewangan.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman pula menerima Darjah Dato’ Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima manakala Akauntan Negara Malaysia, Nazran Omar yang dilantik memegang jawatan pada 17 April lalu dikurniakan Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) membawa gelaran Datuk.
Seramai 14 individu dianugerahkan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk, termasuk Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Sandrea Ng Shy Ching.

Turut menerima DPMP, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Halizah Sipun; Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah; Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP), Ir. Lokman Abd Rahim serta, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri, Mohd Azhar Mohd Yusof.
Selain itu, penerima pingat sama termasuk, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Zulkafli Mohamed Mokhtar; Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Ts. Dr Mohd Shafry Mohd Rahim; dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), DR Arul Rajoo.
Seterusnya, Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk dianugerahkan kepada lapan orang penerima antaranya, Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari; serta Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh.
Mereka adalah antara 218 penerima darjah kebesaran dan pingat yang telah diumumkan pada 6 November lalu.
Baki penerima akan dikurniakan pingat pada istiadat penganugerahan sesi kedua yang akan berlangsung pada 21 November ini.
Bagi istiadat penganugerahan sesi pertama hari ini melibatkan penganugerahan Darjah Kebesaran yang membawa gelaran SPMP hinggalah kepada DPTS.
Sempena sambutan hari keputeraan kali ini, Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan 10 Darjah Ahli Paduka Cura Si Manja Kini (PCM), Darjah Ahli Paduka Mahkota Perak (PMP) (28), Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) (18), Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) (47), Pingat Pekerti Terpilih (PPT) (49), Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (31) dan Pingat Lama Perkhidmatan (PLP) 10 penerima. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin berangkat ke istiadat pengurniaan darjah kebesaran Perak


