Semua kedai runcit boleh sertai SARA, hanya perlu mohon terminal – Fuziah

KUALA LUMPUR – Semua pengusaha kedai runcit termasuk di kawasan pedalaman boleh menyertai program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan hanya memohon terminal SARA daripada Kementerian Kewangan (MOF).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, pembayaran bagi pembelian menggunakan MyKad penerima SARA akan dibuat secara terus oleh MOF kepada peruncit menerusi terminal berkenaan.

Beliau berkata, kemudahan itu membolehkan kedai runcit kecil turut mendapat manfaat daripada program bantuan berkenaan tanpa perlu menjadi sebahagian daripada rangkaian pasar raya besar.

“Semua peruncit boleh terlibat dengan program SARA kerana subsidi yang ditawarkan atau bayaran itu dibuat langsung daripada MOF.

“Jadi, apa yang peruncit perlu buat ialah memohon kepada MOF untuk mendapatkan terminal SARA,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh.

Menurut Fuziah, hasil lawatan beliau ke kawasan pedalaman mendapati kedai runcit yang mempunyai sistem jualan (POS) dengan terminal SARA turut menikmati manfaat daripada penyertaan dalam program itu.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga membantu pengendali program Jualan Rahmah mendapatkan kemudahan terminal dan sistem POS bagi melancarkan urusan jual beli.

Beliau berkata, kemudahan terminal SARA turut dilihat sudah tersedia di beberapa kawasan pedalaman dan pulau, sekali gus memudahkan penduduk setempat menggunakan bantuan berkenaan.

Terdahulu, menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai), Fuziah menjelaskan penyertaan kedai runcit dalam program SARA tidak terhad kepada premis perniagaan berskala besar kerana proses pembayaran dibuat terus oleh MOF.

Idris ingin mengetahui langkah KPDN bersama MOF bagi memastikan kedai runcit di kawasan pedalaman dapat menyertai program SARA dengan mengambil kira perbezaan syarat serta kos operasi berbanding pasar raya besar. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI