DUN Perak kecoh, istilah ‘bapa sesumpah’ cetus ketegangan

IPOH – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini kecoh selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad mengeluarkan kenyataan yang berunsur tuduhan terhadap bekas Exco Perak dan penggunaan istilah ‘bapa sesumpah‘.

Ketegangan dalam sesi perbahasan Belanjawan Perak 2027 tercetus apabila Muhamad Arafat mendakwa terdapat bekas Exco Perak yang bertindak memburukkan kerajaan negeri dan Menteri Besar ketika masih berada dalam barisan pentadbiran kerajaan terdahulu.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut dibantah oleh ADUN pembangkang dari Alor Pongsu, Trong dan Gunung Semanggol yang menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai berunsur fitnah.

Speaker DUN Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid kemudian meminta Muhamad Arafat menarik balik kenyataan berkenaan selepas mendapati penjelasan yang diberikan tidak mencukupi untuk menolak dakwaan tersebut.

“Tuduhan berhubung perbuatan tikam belakang dan fitnah itu merujuk kepada kejadian ketika mereka (pembangkang) masih berada dalam kerajaan.

“Saya berpandangan alasan yang diberikan ADUN Hulu Kinta tidak betul untuk menjelaskan kenyataan tersebut. Justeru, saya minta tarik balik kenyataan berkenaan dan memohon maaf,” katanya.

Wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kemudiannya akur dan bersetuju untuk menarik balik kenyataan tersebut.

Sesi perbahasan kembali gamat apabila Muhamad Arafat menggunakan istilah ‘bapa sesumpah’ bagi menggambarkan perubahan pendirian politik pemimpin pembangkang ketika berada dalam kerajaan berbanding selepas menjadi pembangkang.

ADUN Kamunting dan Selama kemudiannya membangkitkan Perintah Tetap berhubung penggunaan istilah tersebut oleh ADUN Hulu Kinta yang disifatkan sebagai tidak wajar.

Mohammad Zahir sekali lagi meminta Muhamad Arafat menarik balik perkataan ‘bapa’ kerana disifatkan kasar dan tidak sesuai digunakan dalam persidangan.

“Ayat itu dianggap menghina, jadi saya minta Hulu Kinta tarik balik dan minta maaf,” ujarnya.

Muhamad Arafat menegaskan isu dibangkitkan adalah berkait rapat dengan beberapa dasar dan inisiatif, termasuk soal keadilan agihan peruntukan dibangkitkan pembangkang.

“Saya sebut dengan fahaman cara menilai politik berubah-ubah. Masa ada jawatan lain, bila tak ada jawatan lain. Kedai subsidi dulu (masa dalam jawatan) kata adalah yang terbaik, sekarang dia kata terburuk,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Arafat turut memuji pencapaian kerajaan negeri dalam memperkukuh tadbir urus, kutipan hasil, merancakkan pelaburan serta mengekalkan kestabilan politik, yang dizahirkan menerusi pembentangan Belanjawan Perak 2027 baru-baru ini.

Katanya, rakyat di negeri ini juga dapat melihat dengan jelas bagaimana kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Perak telah membentuk hubungan pentadbiran yang baik dan harmoni.

“Maka, rakyat dapat melihat sendiri hasil kerjasama antara kedua-dua gabungan ini yang telah membawa manfaat dan kemakmuran kepada negeri Perak,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Ketua Pembangkang puji Perak catat lebihan hasil empat tahun berturut-turut

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI