IPOH – Kira-kira tiga tan ikan kembung dan cencaru, sayur-sayuran serta beras diedarkan secara percuma kepada lebih 1,000 penduduk di sekitar bandar raya Ipoh pada program Bantuan Dapur Rakyat Sempena Ambang Tahun Baru 2024 di Taman Seri Tasek, di sini, pada Ahad.
Program anjuran Ariff Frozen Food dengan kerjasama Persatuan India Muslim Perak (PRIM) adalah yang kedua diadakan selepas tahun lalu.
Orang ramai berbaris seawal 7.30 pagi dan berbaris sepanjang 500 meter untuk mendapatkan barangan dapur basah dan kering itu.
Program yang diadakan di premis perniagaan mereka ini bermula dari jam 9 pagi dan berakhir sekitar jam 12.30 tengah hari.
Pengarah Urusan Ariff Frozen Food, Fauziah Mohamed Arib berkata, sumbangan ini diberikan melalui hasil keuntungan perniagaan mereka yang telah beroperasi sejak 10 tahun lalu.
Menurutnya, keuntungan yang diperoleh dipulangkan kembali dengan memberikan bantuan kepada orang ramai yang memerlukan.
“Hari ini, kami berkongsi rezeki bersama orang ramai dan berharap bantuan yang tidak seberapa ini dapat menggembirakan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program itu di sini, pada Ahad. Hadir sama, Pengerusi PRIM, Mohamed Arib Aliah.
Sementara itu, pesara swasta, Mohamad Saperi Suki, 62, berkata, sumbangan itu sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan terutamanya B40.
“Terima kasih diucapkan kepada Ariff Frozen Food dan PRIM yang mengambil inisiatif memberikan barangan mentah ini secara percuma dan saya berharap mereka akan terus melakukan kebajikan bagi meringankan beban orang ramai,” jelasnya.
Surirumah, Radzipah Sulaiman, 58, berkata, dia bersama anaknya mula berbaris seawal jam 7.30 pagi bagi mendapatkan barangan dapur tersebut.
Katanya, dalam keadaan sekarang, adalah wajar mereka yang berkemampuan untuk tampil membantu memandangkan ramai yang tertekan dengan situasi ekonomi.
“Alhamdulillah dan terima kasih diucapkan atas bantuan ini,” katanya yang datang dari Desa Tambun, di sini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
NGO agih beras percuma bantu keluarga untuk kenduri kahwin