TMP 2024 kembali semula selepas tujuh tahun

BATU GAJAH – Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 dilancarkan secara rasminya tengah malam tadi selepas kali terakhir ia diadakan kira-kira tujuh tahun lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jika mengikut perancangan asal, penganjuran TMP sepatutnya diadakan semula pada tahun 2022.

Bagaimanapun, menurutnya, susulan pandemik Covid-19, ia terpaksa ditangguhkan, dan selepas keadaan sudah kembali pulih, kerajaan negeri memutuskan untuk meneruskannya pada tahun 2024.

“Kita semua adalah duta-duta negeri yang akan mempromosikan Perak sebagai destinasi pilihan pengunjung, sejarah, budaya dan keunikan yang ada di negeri ini.

“Pada masa sama, kita adalah jurucakap yang menghebahkan mengenai pesona, keindahan dan keunikan di Perak.

“Sehubungan itu, manfaatkan sepenuhnya platform media sosial untuk berkongsi kisah menarik, gambar, video atau apa juga medium yang boleh menggamit kehadiran pelancong.

“Kongsikan mengenai kelazatan makanan, keunikan kegiatan budaya serta program-program menarik yang disusun sepanjang kalendar pelancongan 2024,” katanya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad turut melancarkan jersi Perak FC 2024 selepas selesai pelancaran Tahun Melawat Perak 2024 dan Sambutan Ambang Tahun Baru 2024 di Silverlakes Village Outlet, di sini, tengah malam tadi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Tahun Melawat Perak 2024 dan Sambutan Ambang Tahun Baru 2024 di Silverlakes Village Outlet, di sini, tengah malam tadi.

Dianggarkan lebih 40,000 pengunjung hadir sepanjang dua hari program tersebut berlangsung.

Hadir sama, isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubin; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Loh Sze Yee dan Barisan Exco Kerajaan Negeri Perak.

Dalam pada itu, Saarani juga turut mengingatkan rakyat Perak supaya sentiasa menjaga keamanan dan kebersihan negeri Perak pada setiap masa terutamanya sepanjang kempen TMP 2024 ini berlangsung.

“Ingatlah, kebersihan dan keselamatan sentiasa meninggalkan kesan positif kepada pelancong. Setiap pengalaman di negeri ini akan menjadi penceritaan pengunjung. Baik buruknya akan menentukan imej negeri kita di mata orang luar,” jelasnya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengadakan acara pelepasan Grab Car sejurus selesai pelancaran Tahun Melawat Perak 2024 dan Sambutan Ambang Tahun Baru 2024 di Silverlakes Village Outlet, di sini, tengah malam tadi. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Sejurus selepas gimik pelancaran TMP 2024 dan pengiraan detik 12 tengah malam serta pertunjukan bunga api sempena Sambutan Ambang Tahun Baru 2024 selesai, Saarani menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan strategik Tourism Perak.

Program diteruskan dengan pelancaran jersi Perak FC musim 2024 dan upacara pelepasan Grab Car. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

90 acara pelancongan berlangsung sepanjang TMP 2024

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI