90 acara pelancongan berlangsung sepanjang TMP 2024

IPOH – Perak sudah bersedia menyambut pelancong dari dalam dan luar negara dengan menyediakan pelbagai pakej menarik serta menyenaraikan kira-kira 90 acara pelancongan di peringkat daerah dan negeri menerusi tagline Promising Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerja-kerja naik taraf lokasi pelancongan dan aktiviti promosi sedang giat dilakukan bagi menarik minat pelancong untuk datang ke negeri ini.

Menurutnya, inisiatif dan aktiviti promosi akan dijalankan secara berterusan menerusi perancangan sebelum dan semasa Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 berlangsung.

“Usaha ini dilihat mampu membantu dalam meuar-uarkan lagi TMP 2024 yang hanya tinggal kurang dari empat bulan sahaja lagi.

“Promosi dan pengiklanan secara Internal Wrapping di dalam perkhidmatan tren elektrik(ETS) turut dilaksanakan sempena TMP2024 bermula bermula Oktober ini hingga Januari 2025 yang mengetengahkan enam tema utama iaitu warisan, makanan, alam semulajadi, hiburan dan keluarga serta kraftangan yang terdapat di Perak.

“Tema-tema ini dipilih untuk memberikan pengalaman merasai suasana seperti kita berada di negeri Perak sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Internal Wrapping ETS Sempena TMP 2024 di KL Sentral, pada Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Loh Sze Yee.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 200,000 orang akan menggunakan perkhidmatan ini sebulan yang meliputi wilayah tengah, utara dan selatan semenanjung Malaysia dengan 32 perjalanan setiap hari dengan purata 11,000 penumpang setiap hari.

“Pada tahun 2022, lebih dari 2.14 juta penumpang menggunakan perkhidmatan ETS di negeri Perak dan antara stesen tertinggi adalah Ipoh (911,286 penumpang), Taiping (290,024 penumpang) dan Batu Gajah (228,312 penumpang).

“Selain itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melalui KTM Komuter Utara laluan Ipoh ke Butterworth dan Butterworth ke Padang Besar menyediakan 56 perkhidmatan sehari, susulan lanjutan perkhidmatan dari Ipoh, Sungai Siput dan Kuala Kangsar pada 16 September lalu.

“Kedua-dua perkhidmatan yang disediakan oleh KTMB ini diharap dapat menyumbang kepada peningkatan penumpang ke Perak sekali gus merancakkan sektor pelancongan sempena TMP 2024.

“Sekalung tahniah dan penghargaan diucapkan kepada Tourism Perak, KTMB, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan semua pihak yang terlibat dalam melaksanakan kerjasama tersebut,” ujarnya.

Pada majlis pelancaran itu, turut diperkenalkan maskot pelancongan baru Kopita singkatan nama  kopi Tarik yang akan berpasangan dengan maskot sebelum ini Kopiro. – MG Perak

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI