59 warga asing mengaku bersalah masuk Malaysia secara haram

TELUK INTAN – Seramai 59 warga Indonesia dan Nepal didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memasuki negara ini tanpa dokumen sah dan tinggal lebih masa pada Disember lalu.

Mereka terdiri daripada 40 lelaki dan 19 wanita berusia antara 20 hingga 64 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Berdasarkan pertuduhan, 33 warga Indonesia termasuk seorang lelaki Nepal dituduh masuk Malaysia tanpa pas yang sah.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu ketika ditahan di kebun sawit tepi Jalan Pasir Kampung Sungai Tiang Baroh pada jam 10.30 pagi 28 Disember 2023.

Berikutan itu, mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, serta sebatan tidak lebih enam sebatan.

Manakala, 26 lagi warga Indonesia didakwa kerana tinggal di negara ini setelah tamat tempoh sah lawatan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di ketika ditahan di kebun sawit Lorong 1, Jalan Ban Persisiran Laut Bagan Sungai Tiang pada jam 6.30 pagi, hari yang sama.

Sehubungan itu, mereka telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-dua sekali.

Mahkamah menetapkan 19 Januari depan sebagai sebutan semula kes dan tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap kesemua warga asing terbabit.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izzudin Fakri Hamdan, manakala semua warga asing tidak diwakili peguam.

Pada 28 Disember lalu, 60 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia ditahan ketika bersembunyi di ladang sawit di Bagan Sungai Tiang Darat, Selekoh, Bagan Datuk. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

60 pati kantoi bersembunyi dalam kebun kelapa sawit

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI