60 pati kantoi bersembunyi dalam kebun kelapa sawit

BAGAN DATUK – Seramai 60 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan ketika bersembunyi dalam kebun kelapa sawit selepas bot yang mereka naiki terkandas di Bagan Sungai Tiang Darat, Selekoh, dalam satu serbuan di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya  menerima maklumat orang awam berhubung sebuah bot dalam keadaan mencurigakan terkandas di kawasan tersebut dengan muatan dipercayai warga asing sekitar jam 3.45 pagi.

Menurutnya, sejurus menerima maklumat itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dan anggota dari Balai Polis Rungkup dibantu oleh Batalion 3 Pasukan Gerakan Am Bidor serta Pasukan Polis Maritim Kampung Acheh telah bergerak ke lokasi bot berkenaan.

“Pemeriksaan di lokasi mendapati tiada sebarang kehadiran warganegara asing dalam bot tersebut.

“Bagaimanapun,pemeriksaan lanjut menemukan 40 lelaki dan 20 wanita warga Indonesia berumur antara 20 hingga 64 tahun sedang bersembunyi di kebun kelapa sawit terletak berhampiran kawasan bot terkandas itu.

“Bot yang membawa PATI itu dipercayai dalam perjalanan ke Tanjung Balai, Indonesia namun tersadai akibat kerosakan enjin,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, dua lelaki warga tempatan berusia 38 dan 63 tahun yang memandu dua kereta disyaki membawa imigran haram untuk dihantar pulang ke Indonesia turut ditahan dalam serbuan itu.

“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa balik ke IPD Hilir Perak untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Empat nelayan warga asing termasuk tekong ditahan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI