Empat nelayan warga asing termasuk tekong ditahan

LUMUT – Sebuah bot bersama empat nelayan warga asing termasuk tekong ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak, kerana melakukan pelbagai kesalahan di Pulau Jarak, di sini, pada Jumaat.

Pengarah Maritim Malaysia Perak, Mohd Hambali Ya’akup berkata, bot nelayan kelas C itu ditahan di kedudukan kira-kira 13 batu nautika barat laut Pulau Jarak, di sini, sekitar jam 3.15 petang.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat daripada Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) Lumut dan Pusat Operasi Maritim Negeri Perak, Kapal Maritim (KM) Nyalau yang sedang melakukan rondaan rutin menerusi OP Sayung, Op Tanjung dan Op Tiris di perairan berkenaan.

Katanya, KM tersebut telah diatur gerak ke kawasan berkenaan bagi mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sedang melakukan aktiviti perikanan.

“Pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati ia dikendalikan seorang tekong warga Thailand bersama tiga kru warga Myanmar dan Kemboja berumur antara 30 hingga 50 tahun.

“Kita turut mendapati tekong gagal mengemukakan dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan surat kelulusan penggunaan peralatan komunikasi.

“Kru yang terlibat didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Beliau berkata, kesemua nelayan terbabit ditahan termasuk bot dan hasil tangkapan serta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana tidak mempunyai kelulusan penggunaaan radar dan peranti dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang diperakukan,” jelasnya.

Mohd Hambali berkata, Maritim Malaysia sentiasa menegaskan kepada komuniti maritim supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan diambil.

“Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838 737 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Maritim Malaysia rampas bot nelayan tempatan tidak miliki lesen

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI