Perak tubuh jawatankuasa penilai prestasi khidmat ahli majlis

BAGAN SERAI – Kerajaan Perak menubuhkan jawatankuasa penilaian khas bagi menilai prestasi perkhidmatan ahli majlis di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dijadual berakhir pada 25 Februari depan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, jawatankuasa itu berperanan untuk memastikan proses pelantikan ahli majlis baru kelak berjalan lancar.

“Usaha ini bagi memastikan kita dapat membuat pertimbangan dalam menentukan seseorang ahli majlis itu perlu dikekalkan, ditukar atau sebagainya.

“Penilaian itu juga termasuk kepada soal prestasi kerja di kawasan atau zon yang mereka wakili,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Taman Seri Selinsing, dekat sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), Mohamed Akmal Dahalan.

57 unit rumah teres setingkat kos sederhana dibina di atas tanah berkeluasan 2.44 hektar itu dibangunkan melalui kaedah pemberian dana mudah cara daripada LPHP kepada pemaju swasta, Nazarin Sdn. Bhd.dengan kos berjumlah RM8.2 juta.

Dalam pada itu, Sandrea berkata, walaupun telah menerima senarai calon nama ahli majlis dari kesemua 15 PBT, namun proses perbincangan bagi pelantikan tempoh baru masih berjalan.

“Secara umumnya, berdasarkan kepada penilaian awal ia menunjukkan keputusan yang positif. Tiada sebarang isu atau pertukaran ahli majlis besar-besaran dijangka berlaku setajat ini,” ujarnya.

Pada 16 Februari tahun lalu, media melaporkan Kerajaan Perak meluluskan pelantikan 286 ahli majlis PBT yang berkuatkuasa kira-kira dalam tempoh satu tahun. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Penguat kuasa di 15 PBT Perak bakal dilengkapi kamera badan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI