Penguat kuasa di 15 PBT Perak bakal dilengkapi kamera badan

IPOH – Penguat kuasa di 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Perak bakal dilengkapi kamera badan bagi meningkatkan mutu penguatkuasaan ketika di lapangan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, kerajaan negeri dalam pertimbangan untuk melaksanakan penggunaan kamera badan itu pada suku pertama tahun hadapan.

Menurutnya, melalui penggunaan kamera badan ini secara tidak langsung dapat membantu penguat kuasa PBT apabila menjalankan penguatkuasaan termasuk operasi penangkapan haiwan jalanan dan merayau, lawatan semakan lesen perniagaan, pemantauan isu sampah haram sebagai prosedur operasi standard (SOP) yang baharu.

“Pemasangan kamera badan ini bertujuan untuk meningkatkan tahap ketelusan dengan memastikan hak serta kepentingan antara penguat kuasa dan masyarakat terlindung.

“Pada masa sama, pembuktian rakaman menerusi pemakaian kamera badan ini juga akan membantu jika berlaku sebarang isu apabila proses penguatkuasaan berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Bilik Media Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Khamis.

Katanya, penggunaan kamera badan juga dapat membantu mengelakkan sebarang kontroversi serta meningkatkan ketelusan dan menjadi salah satu cara untuk mengumpul bukti ketika pasukan penguat kuasa menjalankan tindakan.

“Peruntukan untuk pembelian kamera badan ini mengambil sedikit masa sama ada menggunakan peruntukan daripada kerajaan negeri atau peruntukan lain, tetapi saya percaya ia dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya.

Sebelum ini, beberapa PBT di negeri lain sudah melaksanakan penggunaan kamera badan dalam kalangan penguat kuasa mereka antaranya termasuklah Johor dan Selangor. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak akan ketatkan syarat permohonan lesen bot pelancongan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI