LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) Kelas C bersama lima kru warga Myanmar yang disyaki melakukan beberapa kesalahan di perairan dekat sini, Sabtu lalu.
Vesel berkenaan ditahan sekitar jam 5 petang pada kedudukan 8.6 batu nautika barat daya Pulau Buluh, di sini ketika aset Maritim Malaysia melaksanakan operasi penguatkuasaan di perairan Selat Melaka.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan lima kru warga Myanmar, termasuk tekong, berusia antara 26 hingga 56 tahun yang sedang menjalankan aktiviti perikanan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati vesel terbabit mempunyai lesen yang sah, namun tekong bersama dua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, manakala dua lagi kru mengemukakan dokumen yang diragui kesahihannya.
“Vesel berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 berkaitan penggajian atau pembawaan warga asing tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.
“Semakan turut mendapati vesel itu disyaki melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan pada jarak kurang daripada 15 batu nautika dari pantai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pemeriksaan turut menemukan hasil tangkapan ikan seberat kira-kira 250 kilogram di atas vesel berkenaan.
“Kesemua kru ditahan bagi membantu siasatan, manakala vesel, hasil tangkapan ikan dan peralatan menangkap ikan dirampas,” ujarnya.
Beliau berkata, Semua rampasan kemudian dibawa ke jeti Maritim Malaysia sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Maritim Malaysia tahan 14 kru, rampas vesel, 300kg ikan bilis


