PARIT BUNTAR – Tiga warga Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas bot fiber yang dinaiki mereka disyaki melakukan kesalahan berkaitan perikanan dan imigresen di perairan negeri Perak, pada Ahad.
Pengarah Maritim Zon Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata, bot berkenaan ditahan kira-kira jam 10.50 pagi pada kedudukan 4.3 batu nautika barat laut dari Pulau Pasir Hitam, Kuala Kurau, di sini.
“Pemeriksaan mendapati bot fiber berkenaan tidak mempunyai nombor pendaftaran yang sah dan disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan, iaitu bubu naga,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut terhadap ketiga-tiga kru warga Myanmar itu mendapati mereka juga disyaki tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta permit kerja yang sah.

Beliau berkata, justeru bot bersama semua kru warga asing itu dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menjalankan aktiviti penangkapan ikan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan.
“Juga turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd Hairil berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan perikanan haram, penggunaan peralatan tangkapan terlarang serta pelanggaran undang-undang imigresen di perairan negara.
Beliau berkata, komuniti maritim yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti mencurigakan atau jenayah di laut, diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau atau menghubungi talian kecemasan 999. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:


