IPOH – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama kira-kira 300 jemaah hadir ke Rehlah Perdana bersempena dengan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2026 di Masjid Sultan Azlan Shah di sini, pada Ahad.
Hadir sama; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; serta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim.
Rehlah Perdana bermula dengan solat Maghrib berjemaah sebelum disusuli dengan majlis bacaan surah Yasin, tahlil zikir munajat dan selawat yang dipimpin Imam Utama, Syed Mohd Muzzaffar Syed Azlan.

Sekitar majlis Rehlah Perdana sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2026 di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh, pada Ahad. Foto: Aniq Nabilafiq Anuar
Majlis anjuran NADMA itu kemudian diteruskan dengan solat Isyak berjemaah dan majlis jamuan makan.
Rehlah Perdana Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2026 dianjurkan sebagai memohon keselamatan serta kesejahteraan rakyat dan negara agar dihindarkan daripada sebarang musibah terutama menjelang tempoh Monsun Timur Laut (MTL).

Penganjuran majlis kali kedua selepas ia diadakan di Raub, Pahang pada tahun lalu itu antara lain menggabungkan elemen kesiapsiagaan dan ikhtiar dalam menghadapi kemungkinan bencana, selain mengingatkan kesedaran masyarakat bahawa persediaan perlu dilakukan lebih awal.
Terdahulu siang tadi, Ahmad Zahid menyempurnakan Majlis Peluncuran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2026 bertemakan ‘MADANI Siaga, Tanggungjawab Bersama’ di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di sini. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Kesiapsiagaan bencana perlu jadi budaya berterusan – TPM


