Setiap minit berharga ketika bencana, Saarani tegaskan kesiapsiagaan bersama

IPOH – Kelewatan menyampaikan amaran, menggerakkan bantuan dan memindahkan penduduk ketika bencana boleh mengundang akibat yang tidak mampu ditebus dan justeru itu setiap minit amat berharga.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pengalaman berdepan bencana banjir sebelum ini memberi pengajaran bahawa setiap minit amat berharga, terutama ketika penduduk perlu meninggalkan kediaman bagi mengelakkan risiko lebih besar.

Beliau berkata, justeru itu kesiapsiagaan menghadapi bencana tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu agensi penyelamat, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat.

“Ia mesti menjadi tanggungjawab bersama. Kerajaan boleh menyediakan sistem dan keupayaan. Agensi boleh memastikan tindakan dapat digerakkan.

“Tetapi masyarakat juga perlu mempunyai pengetahuan dan kesedaran untuk melindungi diri serta keluarga,” katanya ketika berucap pada Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di sini, pada Ahad.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) ketika gimik Peluncuran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2026 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), Ipoh, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 11 OKTOBER 2026.

Saarani berkata, bencana bukan sekadar angka yang direkodkan dalam laporan, sebaliknya melibatkan kehidupan keluarga yang terpaksa berdepan ketakutan, kehilangan harta benda dan ketidakpastian untuk meneruskan kehidupan.

Katanya, keadaan menjadi lebih sukar apabila penduduk terpaksa meninggalkan rumah dalam keadaan tergesa-gesa, termasuk keluarga yang mempunyai anak kecil serta warga emas yang memerlukan bantuan untuk berpindah ke tempat selamat.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri Perak terus memperkukuh sistem penyelarasan pengurusan bencana menerusi penubuhan Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di kesemua 12 daerah.

“Kita wujudkan pusat-pusat ini bukan semata-mata melengkapkan struktur pentadbiran. Paling penting, ia mesti memastikan setiap amaran sampai kepada penduduk yang terlibat, setiap panggilan kecemasan mendapat perhatian dan setiap bantuan dapat digerakkan sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melawat reruai pameran pada Majlis Peluncuran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2026 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), Ipoh, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 11 OKTOBER 2026.

“Namun, tanggungjawab kita tidak terhenti pada usaha menyelamatkan rakyat ketika bencana melanda. Kita juga mahu mengurangkan kemungkinan mereka terpaksa melalui pengalaman pahit yang sama berulang kali.

“Sebab itu, Kerajaan Negeri bersama Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan dan merancang 11 projek Rancangan Tebatan Banjir bernilai keseluruhan RM1.45 bilion di seluruh Perak,” katanya.

Saarani turut menzahirkan penghargaan Kerajaan Negeri atas komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan, khususnya melalui NADMA dan agensi berkaitan, dalam membantu Perak menghadapi pelbagai cabaran bencana serta perubahan cuaca, termasuk usaha menangani risiko kekurangan sumber air.

Katanya, kerjasama erat ini amat penting kerana dalam soal keselamatan dan kesejahteraan rakyat, keutamaan tetap sama, iaitu memastikan setiap tindakan dapat dilaksanakan dengan pantas, tersusun dan berkesan. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI