LUMUT – Siulan ‘Pak Din’ memecah keheningan di Teluk Nipah, Pulau Pangkor setiap petang sentiasa mencuri perhatian pelancong yang berkunjung ke pulau peranginan itu.
Mana tidaknya, semua mata akan tertumpu kepada, Nordin Bakar, 68, bagi menyaksikan kebolehannya memanggil sekumpulan burung enggang liar untuk diberi makanan.
Burung enggang yang boleh ditemui di sekitar Pulau Pangkor merupakan salah satu spesies unggas yang unik dengan saiz paruh besar serta warna menarik yang terdapat pada haiwan liar itu.
Pemilik Sunset View Chalet Teluk Nipah itu berkata, pada setiap jam 6.30 petang dia akan bersiul di hadapan pintu masuk chalet miliknya itu beberapa kali untuk menarik kehadiran haiwan berkenaan.
Katanya, unggas itu kemudian akan diberi makan buah pisang dengan hanya menggunakan tangan, yang mana ia kelihatan jinak walaupun ia tidak dipelihara warga emas berkenaan.
Menurut bapa kepada empat cahaya mata itu, dia mula memberi makanan kepada burung enggang ketika chalet miliknya sedang dalam pembinaan kira-kira 23 tahun lalu.
“Pada awalnya saya melakukannya hanya sekadar hobi di mana burung enggang yang pertama singgah di kawasan chalet saya ini untuk makan saya namakan ia sebagai ‘Awang’.
“Bermula pada Awang, ia kemudian datang sampai lima ke enam ekor dan ia semakin banyak sehinggalah boleh datang dalam 30 ekor secara berperingkat,” katanya ketika ditemui MG Perak, di Sunset View Chalet Teluk Nipah baru-baru ini.
Tinjauan MG Perak di lokasi menyaksikan sendiri bagaimana Nordin mampu menarik kehadiran sekumpulan burung enggang di hadapan chaletnya sambil menanti untuk diberi makan dengan hanya bersiul beberapa kali.
Nordin turut menunjukkan demonstrasi dengan menyucuk potongan pisang pada sebatang kayu pendek sebelum ia dihalakan ke atas.
Selepas itu, seekor burung enggang liar yang bertenggek di atas dahan pokok mula mengembangkan sayapnya dan terbang sebelum menyambar pisang berkenaan dengan pantas.
Di samping itu, Nordin turut memberi peluang kepada para pelancong yang berada di situ untuk memberi makanan kepada hawian berkenaan tanpa dikenakan sebarang caj.
Ujar Nordin, dia sememangnya tidak pernah berniat untuk mengenakan sebarang bayaran kepada sesiapa yang ingin memberi makanan kepada sekumpulan unggas yang dipanggilnya ke situ.
“Saya memang tidak ada menuntut sebarang ilmu atau apa-apa berkaitan dengannya. Sebaliknya, saya hanya ikhlas untuk memberi makan kepada burung enggang ini.
“Sebelum ini, saya hanya beri roti kepada burung-burung itu. Namun ada pelancong ke Pulau Pangkor sebelum ini menegur saya bahawa roti bukan diet yang sesuai untuk unggas itu.
“Saya mengambil maklum pandangan berkenaan dan mulai pada tahun 2004, saya menyediakan pisang sebagai makanan kepada burung enggang itu,” katanya lagi.
Selain itu, Nordin memberitahu sehingga kini ribuan pelancong dalam dan luar negara telah menyaksikan kebolehannya itu selain pernah mendapat liputan dalam majalah pelancongan antarabangsa.
Katanya lagi, terdapat dua spesies burung enggang boleh ditemui di sekitar Pulau Pangkor iaitu enggang kelingking atau enggang belulang serta enggang papan atau lebih dikenali dengan nama great hornbill. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
[…] Siulan Pak Din jinakkan Enggang di Pangkor dikagumi pelancong […]