Jangan libatkan politik bincang hukum syariah – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK – Perbincangan mengenai kepentingan hukum syariah boleh diadakan bersama semua pihak beragama Islam dan sepatutnya lebih menyentuh penyatuan fikrah selain tidak menjadikan politik sebagai garis utama.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan baru-baru ini merujuk kepada peruntukan perundangan yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, perkara berkenaan merupakan salah satu isu besar dan tidak sepatutnya dipolitikkan.

“Dalam perkara ini, mereka (Kerajaan Negeri Kelantan) tahu bahawa keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan itu adalah bersesuaian peruntukan yang ada dalam perlembagaan.

“Soal ini, soal besar, namun kita merasakan soal perundangan, apatah lagi perundangan syariah tidak patut dijadikan isu politik.

“Ini sebagaimana yang disebutkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia tidak terkait dengan peruntukan undang-undang syariah di mana-mana negeri sekali pun.

“Sepatutnya ia dibangkitkan pada 2021 ketika kerajaan terdahulu memerintah negara kita namun setelah kita terhentak di dinding, baru kita menyebut semula mahu memanggil orang Islam untuk mengadakan perbincangan mengenai perkara ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, mengajak semua pihak, terutama ahli Parlimen beragama Islam untuk bergabung demi mewujudkan visi berkenaan.

Mohd Amar turut yakin dengan keazaman kuat dan sokongan meluas serta doa semua, hukum dan mahkamah syariah akan mendapat tempat terhormat dan berpengaruh dalam struktur perundangan negara.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, setakat ini Perdana Menteri tidak pernah membangkitkan perkara tersebut secara spesifik kerana ia membincangkan soal perundangan yang menaikkan beberapa fasa dalam perlembagaan

“Kita rasa Mahkamah Persekutuan lebih bijaksana dalam menangani perkara ini dan bukan soal pentadbiran oleh mana-mana kerajaan pusat,” jelasnya.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan bersejarah itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai sembilan anggota selepas membenarkan permohonan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, yang berasal dari Kelantan, dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.

Terdahulu, Ahmad Zahid meluangkan masa menghadiri Majlis Kunjungan Kasih Tahun Baharu Cina di Taman Desa Bersatu, Hutan Melintang, pada Ahad.- MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak ukir sejarah, hakim wanita dilantik di Mahkamah Rayuan Syariah

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI