KUALA KANGSAR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar mencadangkan supaya al-Quran terjemahan diagihkan kepada orang bukan Islam di negara ini.
Menurutnya, pendekatan itu secara tidak langsung dapat membantu orang bukan Islam lebih memahami Islam melalui kaca mata al-Quran.
“Di Malaysia kita ada buat terjemahan al-Quran dalam bahasa Mandarin, Inggeris dan Tamil jadi boleh kita agihkan kepada orang bukan Islam dalam negara kita.
“Pendekatan itu dilakukan supaya mereka (orang bukan Islam) boleh membuat rujukan (al-Quran) dengan adanya terjemahan dalam bahasa masing-masing.
“Harapannya kita dapat membina satu masyarakat Madani yang menjadikan al-Quran sebagai rujukan utama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Seminar Antarabangsa Pemikiran Tun Sri Harussani di Dewan Serbaguna Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan Naib Canselor USAS, Profesor Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusuf.
Mohd Na’im berkata, langkah itu selari dengan usaha kerajaan yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyumbang satu juta naskhah al-Quran ke seluruh dunia termasuk 15,000 naskhah dengan terjemahan dalam bahasa Sweden.
“Buat masa ini kita dalam proses percetakan al-Quran dengan kerjasama beberapa pihak antaranya Yayasan Restu,” ujarnya.
“Daripada agih begitu banyak (al-Quran terjemahan) begitu banyak ke luar negara, kita boleh agih kepada orang bukan Islam dalam negara.
“Semoga dengan bacaan al-Quran mereka lebih memahami Islam ini sebagai satu agama yang penuh rahmah, harmoni dan kasih sayang kepada manusia sejagat,” ujarnya. – MGPerak
[…] Agih terjemahan al-Quran untuk orang bukan Islam bina kefahaman – Mohd Na’im […]