KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim tetap meneruskan tugas rasmi baginda dengan menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Negara pagi ini biar pun pada hari Ahad yang lazimnya dianggap sebagai hari cuti.
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi saluran rasmi Istana Negara, sesi mengadap berlangsung seawal pukul 7.00 pagi bermula dengan pegawai-pegawai kanan Istana sebelum sesi bersama Perdana Menteri diadakan.
“Hari Ahad, secara kebiasaannya waktu berehat, namun KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menjalankan tugas rasmi di pejabat Baginda di Istana Negara.
“Seawal jam 7 pagi, Seri Paduka Baginda menerima mengadap pegawai-pegawai kanan Istana Negara sebelum menerima mengadap YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri.
“Pertemuan YAB Perdana Menteri bersama Seri Paduka Baginda turut berlangsung di Istana Negara, hari ini,” tulis laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sultan Ibrahim mula memegang tampuk pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada awal tahun lalu. – MalaysiaGazette