Ahli bertambah, 21,000 cawangan beroperasi bukti UMNO kukuh

BAGAN DATUK – Pertambahan keahlian UMNO serta kesemua 21,000 cawangan parti berkenaan yang tidak pernah dibubarkan membuktikan sokongan akar umbi terus kuat, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, meskipun pemutihan keahlian dilakukan selepas beberapa ahli serta pemimpin mereka meninggalkan parti ia tidak memberi kesan kepada UMNO.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, keahlian di Sabah menunjukkan pertambahan sebanyak 2,500 hingga 5,000 permohonan keahlian baharu diterima setiap bulan.

“Ini ditambah dengan kehadiran ahli-ahli di cawangan bukan sekadar cukup kuorum, dulu cukup kuorum boleh jalan. Sekarang melebihi daripada itu.

“Keadaan luar biasa ini akan memotivasikan pemimpin akar umbi dan nasional untuk terus turun ke bawah menyantuni mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan Bahagian Bagan Datuk Tahun 2024 di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk, Sungai Sumun di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, bagi memastikan UMNO kembali menjadi dominan, parti berkenaan telah menggariskan formula bagi merampas kembali kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang calonnya sebelum ini tewas di kedudukan kedua pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Jelas beliau, ia penting untuk memastikan jumlah kerusi yang dimenangi bertambah pada PRU16 dengan mengatasi 26 kerusi sedia ada ketika ini.

“Kita hanya jadi kerajaan negeri di Johor, Melaka, Pahang dan Perak, namun UMNO pernah dominan.

“Walaupun kita bersama parti dalam Kerajaan Perpaduan, namun tentunya UMNO berazam untuk meraih kemenangan lebih daripada apa yang diperolehi.

“Kita merasakan ada beberapa pendekatan terutamanya di kawasan parlimen dan DUN yang kita kalah, tetapi kita berada di kedudukan kedua, maka formula ini mungkin boleh dibincang, digunakan dan diselesaikan oleh parti-parti lain dalam komponen Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah kerusi yang mampu dirampas kembali, Ahmad Zahid berkata, ia akan diumumkan kemudian memandangkan tempoh PRU16 masih berbaki lebih tiga tahun lagi.

Menurutnya, keutamaan UMNO ketika ini adalah menyusun jentera serta memperkukuh penyatuan dalam kalangan ahli di semua peringkat termasuk akar umbi supaya kekuatan UMNO berjaya dibina semula. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI