Kuala Lumpur – Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), penyebaran maklumat palsu dan perubahan landskap digital kini menjadi antara cabaran terbesar industri media selain memberi tekanan kepada model pendapatan tradisional organisasi media.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, perkembangan teknologi bukan sahaja mengubah cara berita dihasilkan, diedarkan dan digunakan, malah turut memberi cabaran baharu dari segi ketepatan maklumat, akauntabiliti dan kepercayaan awam terhadap media.
“Dalam era maklumat palsu, kredibiliti tidak lagi boleh dianggap hadir secara automatik, sebaliknya perlu dibina secara konsisten dan telus. Integriti media bukan lagi satu idealisme, tetapi satu keperluan,” katanya ketika merasmikan Forum Media HAWANA 2026 di sini, hari ini.
Menurut beliau, antara 29 Mac hingga 30 April lalu, sebanyak 464 kandungan palsu berkaitan krisis bekalan global dikenal pasti dengan 312 daripadanya berjaya diturunkan daripada platform digital.
Selain itu, ujarnya, sebanyak 65 kertas siasatan dibuka manakala 15 kes dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
Nie Ching berkata, penggunaan AI turut mempercepat penyebaran deepfake dan kandungan penipuan termasuk penyamaran identiti awam, dengan 60,829 kandungan seumpama itu telah diturunkan setakat 30 April lalu.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan memperkenalkan Dana Inovasi Media bernilai RM30 juta bagi membantu organisasi media dalam aspek latihan, penggunaan teknologi, pembangunan kandungan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Setakat ini, RM20.14 juta telah diluluskan melibatkan 60 organisasi media, manakala permohonan Fasa 5 dibuka sehingga 14 Mei,” katanya.
Beliau turut menegaskan kebajikan pengamal media tidak boleh dipinggirkan menerusi Tabung Kasih@HAWANA di bawah BERNAMA yang setakat ini memanfaatkan 728 pengamal media dengan jumlah bantuan RM1.94 juta.
Forum Media HAWANA 2026 yang menghimpunkan lebih 200 peserta diadakan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 bertemakan “Media Integrity Strengthens Credibility”. – MalaysiaGazette


