AI ubah cara bekerja namun integriti kekal asas perkhidmatan awam

IPOH – Walaupun dunia kini ke arah pendigitalan dan penggunaan teknologi baharu, Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) diingatkan supaya tidak mengetepikan nilai teras perkhidmatan awam yang menjadi asas kepada kepercayaan rakyat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perubahan yang dipacu teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI), analitik data dan landskap ekonomi yang semakin dinamik menuntut penjawat awam menyesuaikan cara bekerja dengan keperluan semasa.

“Dunia hari ini berubah dengan begitu pantas. Teknologi baharu, AI, analitik data dan perubahan landskap ekonomi menuntut kita bekerja dengan cara yang berbeza daripada sebelumnya.

“Bagaimanapun, dalam kita menerima perubahan, jangan sesekali kita meninggalkan nilai yang menjadi asas kepada perkhidmatan awam, iaitu amanah, disiplin, profesionalisme dan integriti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) Cawangan Perak Kali Ke-3 Tahun 2026 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Pada masa sama, Saarani turut mengingatkan supaya penjawat awam terus mendekati rakyat kerana kejayaan sesebuah pentadbiran tidak diukur berdasarkan jumlah fail yang diselesaikan atau mesyuarat yang diadakan.

“Ukuran sebenar kejayaan ialah apabila rakyat merasakan urusan mereka dipermudahkan, masalah mereka didengari dan kehidupan mereka menjadi lebih baik hasil daripada dasar yang kita laksanakan.

“Jangan sekali-kali kita terputus hubungan dengan denyut nadi rakyat. Kerana di situlah letaknya makna sebenar perkhidmatan awam,“ ujarnya.

Tambahnya, kepercayaan rakyat juga perlu dipelihara kerana bukan sesuatu yang boleh dibina dalam masa sehari.

“Kepercayaan itu dibina sedikit demi sedikit melalui setiap keputusan yang dibuat dengan jujur, setiap amanah yang ditunaikan dengan ikhlas dan setiap urusan rakyat yang diselesaikan dengan penuh tanggungjawab serta menjadi asas kepada sebuah pentadbiran yang kukuh dan dihormati,” jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak negeri pertama perkenal kios pemeriksaan kesihatan kendiri berasaskan AI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI