USAHA pembangunan usahawan tidak hanya bermula melalui latihan selepas tamat pengajian, sebaliknya ia perlu disemai seawal usia remaja khususnya ketika masih berada di bangku sekolah.
Pendekatan inilah yang sedang digerakkan melalui penganjuran Pertandingan Program Asas Keusahawanan Anak Remaja (AKAR) dan Asas Keusahawanan Koperasi (AKSI) yang berlangsung di peringkat negeri Perak baru-baru ini.
Ia digerakkan melalui sinergi antara Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Negeri Perak, Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

Menurut Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed, kejayaan menjayakan pertandingan itu adalah bukti kepada penglibatan pelbagai pihak dalam memperkukuh ekosistem pembangunan modal insan.
Beliau berkata, kedua-dua program itu menjadi inisiatif strategik melahirkan generasi muda yang celik keusahawanan, kreatif serta inovatif dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
Kata Salbiah lagi, keusahawanan pada hari ini bukan lagi sebagai pilihan sampingan, tetapi ia adalah kemahiran hidup penting yang perlu ditanam sejak awal bagi membentuk masyarakat yang berdikari dan produktif.
“Saya menyambut baik usaha murni semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.
“Ia terutama dalam memastikan generasi muda negeri Perak terus melangkah ke hadapan dengan yakin, berdikari serta mampu memberi sumbangan kepada pembangunan ekonomi negara kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup AKAR, AKSI dan ‘Junior Food Security Innovation Challenge’ (J-SINC) di RTC Gopeng, baru-baru ini
Mengulas lanjut Salbiah berkata, program AKAR merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Perak melalui STEP sebagai usaha untuk menanamkan semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah di peringkat daerah.

Beliau memberitahu, kesinambungan pelaksanaan AKAR di peringkat daerah disokong pula oleh program AKSI yang diterajui SKM yang mana pemenang akan menjadi wakil tunggal koperasi sekolah-sekolah di Perak untuk ke peringkat kebangsaan di Putrajaya.
Tambah Salbiah, sementata J-SINC yang dikendalikan oleh Perbadanan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) pula bermatlamatkan untuk melahirkan murid yang cakna berkaitan dengan sekuriti makanan serta memupuk minat mereka dalam bidang pertanian.
“Apa yang utama dan saya perlu nyatakan adalah tanpa komitmen yang jitu daripada Jabatan Pendidikan Negeri Perak dalam semua program yang dilaksanakan, mungkin kita tidak akan berada di sini.
“Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Perak yang memberi sokongan yang penuh kepada semua pertandingan yang diadakan,” katanya lagi
81 sekolah seluruh Perak sertai AKAR, AKSI
Sebanyak 81 buah sekolah di seluruh negeri menyertai pertandingan AKAR dan AKSI dengan ia menjadikan Perak merupakan negeri dengan penyertaan tertinggi berbanding dengan negeri-negeri lain.
Sementara program J-SINC pula, ia dilaksanakan di peringkat daerah bersama dua kategori utama iaitu Pertandingan Laman Dapur dan Inovasi Agro dengan masing-masing disertai 63 dan 53 buah sekolah.
Salbiah berkata, daripada keseluruhan penyertaan bagi ketiga-tiga pertandingan itu, sebanyak 12 buah sekolah telah berjaya dipilih untuk mewakili daerah masing-masing di peringkat negeri bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

Pada majlis penutup berlangsung, Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rungkup Berhad dari Bagan Datuk dinobatkan sebagai juara Pertandingan AKAR dan AKSI peringkat negeri.
Penghasilan produk kosmetik pelembap bibir yang diasaskan secara semula jadi di bawah nama ‘Rosea Lip Balm’ telah berjaya melayakkan pasukan tersebut mewakili Perak ke peringkat kebangsaan.

Sementara itu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam ucapannya menyifatkan pelaksanaan AKAR, AKSI dan J-SINC sebagai manifestasi komitmen kerajaan dalam membentuk generasi muda yang bukan sekadar cemerlang akademik, tetapi memiliki jati diri dan kemahiran praktikal yang kukuh.
“Melalui pendedahan awal seperti ini, anak-anak muda kita belajar tentang kepimpinan, daya saing, pengurusan risiko dan berfikir secara kritis.
“Di samping itu, mereka juga dapat diasuh supaya berani mencuba idea baharu dan mengenal potensi diri iaitu asas penting bagi membentuk pemimpin ekonomi masa hadapan,” kata beliau.

Inisiatif yang digerakkan agensi terlibat dalam ketiga-tiga pertandingan itu dilihat sebagai usaha seiring dengan matlamat Pelan Perak Sejahtera 2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan, pemerkasaan belia dan keterjaminan makanan.
Melalui sokongan bersepadu antara agensi, sekolah serta komuniti, program seperti ini bukan sahaja melahirkan pelajar yang berdaya saing, tetapi bakal menjadi pemacu ekonomi negeri pada masa hadapan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
‘Rosea Lip Balm’ bawa tuah kepada Koperasi SMK Rungkup wakil Perak


