Akmal disaran semak peruntukan KKDW sebelum ‘tiaw’ PMX

IPOH – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh disaran menyemak terlebih dahulu kedudukan peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebelum mempersoalkan kerajaan berhubung isu pembayaran kepada kontraktor di bawah kementerian berkenaan.

Ketua Pemuda AMANAH Perak, Khairol Najib Hashim berkata, penjelasan Kementerian Kewangan (MOF) membuktikan tiada sebarang sekatan ke atas peruntukan KKDW bagi projek Jalan Luar Bandar seperti yang didakwa.

“MOF menjelaskan tiada sebarang sekatan dibuat terhadap peruntukan KKDW bagi projek Jalan Luar Bandar. Peruntukan tersebut telah disalurkan sepenuhnya.

“Sebaliknya, kekangan pembayaran kepada kontraktor berlaku apabila peruntukan tahun semasa telah dibelanjakan hampir sepenuhnya, manakala KKDW sejak beberapa tahun lalu membuat komitmen dan berbelanja melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Khairol Najib, rekod perbelanjaan KKDW menunjukkan jumlah perbelanjaan sebenar kementerian itu melebihi peruntukan yang diluluskan bagi tempoh tiga tahun berturut-turut.

Katanya, pada 2023, KKDW menerima peruntukan RM1.1 bilion namun perbelanjaan sebenar mencecah RM1.8 bilion.

“Pada 2024 pula, RM1.3 bilion diluluskan tetapi RM2 bilion dibelanjakan, manakala pada 2025 peruntukan sebanyak RM1.6 bilion berbanding perbelanjaan RM2.3 bilion,” katanya.

“Jadi sebelum mahu ‘tiaw’ PMX dan mempersoalkan kerajaan tidak cukup duit, mungkin elok Akmal bertanya dahulu apa yang berlaku di kementerian yang dipimpin oleh Presiden partinya sendiri,” katanya.

Beliau berkata, lebih menarik, MOF bukan sahaja tidak menyekat peruntukan, malah telah meluluskan tambahan RM300 juta pada 2026 bagi membantu menyelesaikan tunggakan pembayaran kepada kontraktor.

“MOF juga sedang mengenal pasti penjimatan daripada kementerian-kementerian lain untuk membantu menampung keterlebihan komitmen KKDW.

“Mudah kata, kementerian lain mungkin perlu berjimat untuk membantu menampung komitmen berlebihan yang telah dibuat oleh KKD,” katanya.

Khairol Najib berkata, Pemuda AMANAH Perak tidak berminat menjadikan perkara ini sebagai pertelingkahan sesama parti Kerajaan Perpaduan sebaliknya isu sebenar yang perlu diberikan perhatian ialah nasib kontraktor yang telah melaksanakan kerja dan berhak menerima bayaran mereka. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI