Aksi Perak FC, JDT: MFL perlu ambil pandangan penyokong – Exco

IPOH – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) diminta meneliti pelbagai aspek sebelum membuat keputusan menukar lokasi perlawanan tertunda Liga Super antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT)

Perlawanan yang sepatutnya berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) Ahad ini, telah ditukar ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri di Johor.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, keputusan MFL itu mengecewakan peminat bola sepak negeri ekoran keputusan tersebut dibuat pada saat akhir.

Justeru katanya, badan penganjur liga tempatan itu seharusnya mengambil kira situasi dan pandangan pelbagai pihak khususnya dalam kalangan penyokong.

Tambah beliau, dalam hal penentuan lokasi perlawanan, ia juga sepatutnya diadakan di Negeri Perak atau setidak-tidaknya di lokasi berkecuali seperti di Pulau Pinang mahupun Selangor.

“MFL kena menyelami hati dan perasaan para penyokong, kerana tanpa sokongan daripada peminat, pasukan bola sepak sesebuah negeri tidak boleh berjaya dengan baik.

“Jadi saya rasa selepas ini MFL kena berhati-hati dalam menentukan kedudukan (perkara) perlawanan yang ditunda, kerana banyak perkara yang perlu dilihat supaya tidak berlaku seperti ini.

MFL Perak FC JDT bola sepak Khairudin SSI Manjung Liga Super Perak negeri
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah hadir ke Pertandingan Pidato Perak Sejahtera Piala Menteri Besar Perak Tahun 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 07 NOVEMBER 2024.

“Pada saya, boleh bermain di gelanggang berkecuali. Contohnya yang hampir dengan Perak, Stadium Batu kawan di Pulau Pinang, di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selangor atau Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Namun, yang pentingnya kita memberi ruang keadilan yang sama kepada pihak penyokong yang sentiasa berkobar-kobar dan menanti perlawanan Perak FC dengan JDT ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pertandingan Pidato Perak Sejahtera Piala Menteri Besar Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.

Tambah Khairudin, sekiranya lampu limpah di Stadium MPM menjadi isu, perlawanan antara dua pasukan itu mungkin boleh dianjurkan pada sebelah petang.

“Perlawanan antara Perak FC dengan Sabah FC dan Terengganu FC pernah berlangsung sebelum ini pada sebelah petang. Dan dalam soal keselamatan pula, kita lihat pasukan polis menjalankan tugas dengan baik,” katanya lagi.

Ketika diminta mengulas berkenaan wujud segelintir penyokong Perak FC yang ingin memboikot perlawanan di SSI itu, Khairudin berkata ia adalah hak peribadi masing-masing.

“Mungkin mereka merasa kecewa, dan rasa sedih dengan perkara itu. Namun apa yang pentingnya, MFL harus menerima pandangan semua pihak supaya isu seperti ini dapat berjalan dengan baik,” ujarnya.

Pada Selasa media melaporkan, dalam satu kenyataan MFL mengumumkan perlawanan tertunda Liga Super antara Perak FC dan DT yang sepatutnya berlangsung di Stadium MPM ditukar ke SSI.

Penganjur liga itu memaklumkan Perak telah diminta untuk menamakan lokasi perlawanan alternatif, berikutan risiko keselamatan bagi perlawanan berprofil tinggi itu.

Dalam laporan berasingan, Perak FC kemudian menawarkan pengangkutan percuma kepada semua penyokong skuad The Bos Gaurus yang ingin ke SSI bagi menyaksikan perlawanan tertunda itu pada Ahad.

Semua pemegang tiket perlawanan tertunda sebelum ini boleh menebus tiket-tiket tersebut di kaunter yang disediakan termasuk semua pemegang pas semusim Perak FC. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

500 polis tingkat kawalan keselamatan perlawanan Perak FC-JDT malam ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI