Akta 672 di Selangor akan diputuskan selepas MMK – Kor Ming

IPOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengadakan rundingan secara terperinci bersama Kerajaan Negeri Selangor berhubung penggunaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, rundingan berkenaan akan diadaan selepas keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) negeri itu diputuskan.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Selangor secara prinsip bersetuju untuk menerima pakai pengunaan akta tersebut.

“Saya difahamkan Selangor secara prinsip (bersetuju), di mana saya sendiri telah menghadap Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah) dan Tuanku sudah perkenan untuk Selangor menerima pakai Akta 672.

“Kita (KPKT) sedang menunggu keputusan MMK negeri Selangor untuk kita mulakan rundingan secara details (terperinci),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB): Karnival Komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) @ Rumah Pangsa Jalan Hospital di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha KPKT (Perancangan dan Persekitaran Mampan), Datuk Saidatu Akhma Hassan; Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Hee Loy Sian; Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Dalam perkembangan berkaitan, Kor Ming berkata, selain Selangor, perbincangan aktif bagi Akta 672 turut dijalankan bersama kerajaan Pulau Pinang.

Katanya, setakat ini terdapat tujuh negeri telah mengguna pakai akta tersebut iaitu Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Sekiranya Selangor dan Pulau Pinang bersetuju, maka kita akan ada sembilan negeri yang menerima pakai akta tersebut,” ujarnya.

Menyentuh penggunaan akta sama di Perak, beliau berkata, KPKT mengalu-alukan kerajaan negeri untuk terus berunding secara baik dan berhemah yang boleh membawa manfaat besar kepada penduduk di negeri ini.

“Perak mempunyai 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) yang paling banyak di Semenanjung  selain Sarawak dan Sabah.

“Justeru, perkara itu terpulang kepada pendirian kerajaan negeri dan kita menghormati jika untuk mereka terus berunding dengan KPKT. Bagaimanapun, pintu KPKT sentiasa terbuka untuk menerima rundingan bersama kerajaan negeri pada bila-bila masa,” jelasnya.

Sementara itu Kor Ming berkata, penubuhan Majlis Ekonomi Kitaran Nasional (NCEC) bagi sisa pepejal yang ditubuhkan pada September lalu bertujuan untuk mempergiatkan usaha dalam merancakkan ekonomi kitaran di negara ini.

Beliau berharap, lebih banyak negeri akan menerima pakai akta itu menerusi NCEC selaras dengan hala tuju yang jelas iaitu menuju ke Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

Sehingga kini, sebanyak 104 Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) diwujudkan di seluruh negara dan daripada jumlah itu melibatkan 74 unit di negeri menerima pakai Akta 672 manakala 30 unit lagi di negeri belum mengguna pakai akta berkenaan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

390 kg sampah dikutip di pantai Teluk Senangin

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI