IPOH – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berharap supaya negeri-negeri lain mengikut jejak langkah Perlis yang telah menerima Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 sebagai Enakmen Perhutanan (Pemakaian) di negeri masing-masing.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, setakat ini hanya Perlis yang berjaya menggunapakai akta tersebut manakala Selangor sedang mengadakan beberapa pindaan dari segi inkuiri awam (public enquiry) dan juga penggantian serta-merta untuk Hutan Simpan Kekal (HSK).
Menurut beliau, secara umumnya kerajaan negeri menunjukkan perkembangan positif di dalam pengurusan hutan, seperti kawasan hutan yang diusahakan secara lestari dan pewartaan kawasan hutan baharu.
Ujar beliau, penggunaan akta tersebut adalah sebagai aspirasi dan amalan piawaian yang standard dalam usaha memelihara hutan serta kawasan tadahan air seluruh negara.
“Saya percaya negeri-negeri lain telah usahakan dan saya menggesa pada kerajaan-kerajaan negeri kerana kita dah pun lebih dua tahun untuk kita push effort untuk mengguna pakai bagi di Semenanjung Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perhutanan 2022 itu.
“Sebab itu kita perlu kerajaan-kerajaan negeri untuk buat pindaan tersebut dan boleh ambil template yang ada seperti Perlis yang sudah buat.
“Pindaan itu untuk dimasukkan ke dalam enakmen kerajaan negeri. Sebab itu, kita akan memastikan ada public inquiry untuk sebarang penyahwartaan dan sekiranya berlaku penyahwartaan, perlu ada penggantian serta merta dengan kawasan hutan simpan yang baru,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru, di sini, pada Selasa yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris A’fifullah Shah; Raja Di Hilir, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Dalam perkembangan berkaitan, Nik Nazmi berkata, kerajaan akan berusaha menerusi beberapa platform yang ada sama ada melibatkan Menteri Besar dan pihak yang berkaitan.
“Kita akan minta update daripada negeri-negeri apa yang mereka lakukan untuk usaha pewartaan ini dan bagaimana apa lagi bantuan yang boleh kita berikan di peringkat Persekutuan.
“Selain itu, kita akan mengambil kira aspek kualiti iaitu usaha-usaha pemuliharaan dan konservasi hutan yang dibuat oleh kerajaan negeri,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
[…] Akta Perhutanan Negara: Negeri lain wajar contohi Perlis […]