Perak sedia guna pakai pindaan Akta Perhutanan Negara

TELUK INTAN – Kerajaan Perak sedia menerima pakai keseluruhan pindaan dalam Akta Perhutanan Negara (Akta 313) yang diwartakan di peringkat Persekutuan pada 20 September tahun lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata akta itu tidak perlu dibentangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kerana ia perlu dipatuhi.

“Kalau Rang Undang-Undang (RUU) yang dibahas di peringkat Parlimen dan diluluskan akan menjadi akta.

“Akta yang diluluskan wajib dipatuhi kerana tiada pilihan lain. Sesiapa yang melanggar akta tersebut akan dihukum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Chikus di sini pada Rabu.

Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.

Dalam pada itu, Saarani turut menjelaskan sebelum RUU dibawa ke Parlimen, akan diadakan sesi libat urus bersama kerajaan negeri supaya tidak berlaku percanggahan antara enakmen yang ada dalam negeri dan akta di Parlimen.

“Jadi, kalau dah diluluskan di peringkat Parlimen, saya pasti ia sudah dirundingi terlebih dahulu dengan kerajaan negeri dan ada penyelerasan. Kalau tidak, sudah tentu dia tidak akan diluluskan,” jelasnya.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) berharap semua kerajaan negeri memberi sokongan dengan menerima pakai keseluruhan pindaan dalam Akta Perhutanan Negara (Akta 313) di negeri masing-masing.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata semua kerajaan negeri diharap menerima pindaan seperti dibentang dalam Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 di Parlimen yang telah diluluskan sebelum diwartakan pada 20 September di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, antara penambahbaikan seperti memperketatkan proses pewartaan keluar dan penggantian Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Katanya, proses siasatan awam diperkenalkan sebelum sesuatu kawasan HSK boleh diwarta keluar serta penggantian serentak bagi HSK yang diwarta keluar itu.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 Peringkat Pahang dan Pejabat Hutan Daerah Rompin yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada Rabu. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI